12 April 2011 - Selesai Tugasan

Syukur sangat tugasan aku menulis karangan sebanyak 5,000 patah perkataan telah selesai. Ia sebenarnya adalah tugasan dari kursus yang berlainan. Setiap kursus memerlukan aku menulis 2,500 perkataan. Sebenarnya, penulisan sebegini mudah sahaja jika kita mengetahui asas bagi tajuk karangan yang inin ditulis. Namun, ia menjadi sukar apabila kita tidak mempunyai asas dalam tajuk tersebut.

A. Tugasan EU Common External Policy

Karangan yang pertama berjudul EU as a Global Actor and Inter-regionalism with Africa untuk kursus SAE515 EU Common External Policy di bawah pemantauan Dr. Zainal Abidin. Banyak perkara yang aku pelajari dari karangan ini walaupun beban tugasannya sangat berat. Aku berjaya menyelesaikannya sebelum minggu hadapan kerana ujian akan bermula pada hari Rabu minggu itu. Aku sebenarnya tidak tahu apa-apa pun mengenai ekonomi atau hubungan politik luar negara di Eropah. Dari karangan ini, aku mendapat maklumat berkenaan proses dan mekanisme yang digunakan oleh Kesatuan Eropah (EU) untuk berurusan dengan Afrika serta isu yang mereka hadapi sebelum mempromosikan perdagangan dan perniagaan di rantau itu. Walaupun karangan ini aku tidak tulis dengan baik dan kadangkala dipenuhi dengan petikan dari jurnal lain namun aku rasa aku telah melakukan yang terbaik.

B. Tugasan EU Common Policies

Satu lagi tugasan adalah kursus SAE514 EU Common Policies. Aku lebih suka dengan kursus ini kerana aku tak perlu memberikan pendapat mengenai perkara yang aku tidak tahu seperti dalam kursus SAE515 yang di atas itu. Walau bagaimanapun, tugasan untuk kursus ini lewat sedikit kerana Dr. Noraida yang agak kesibukan. Beliau menguruskan Pusat Kajian Wanita (KANITA) di USM selain menjadi pensyarah untuk beberapa kursus. Bagi kursus ini, aku menulis mengenai Sexual Harrassment Derivatives in the EU. Dari tajuk ini, aku mendapat sedikit pengetahuan berkenaan dengan undang-undang dan ketidakadilan di tempat kerja. Aku fikir untuk berkongsi ilmu ini di sini selepas selesai segalanya nanti.

Kedua-dua tugasan ini aku telah serahkan pagi semalam walaupun tarikh tutupnya adalah hari ini. Aku menghantar karangan tersebut melalui emel kepada Dr. Zainal Abidin manakala tugasan Dr. Noraida aku serahkan kepada pembantu beliau di pejabatnya. Aku rasa kesal aku tak dapat menyiapkan tugasan ini dengan sempurna namun aku telah cuba sedaya upaya untuk menulis karangan walaupun kebanyakannya adalah petikan dari jurnal orang lain. Petikan yang aku masukkan dalam karangan aku itu haruslah dipetik secara beretika dengan memasukkan nama penulis asalnya dan tahun untuk rujukan persis seperti yang diajarkan dalam sistem memetik sumber rujukan di Harvard atau MLA. Hasil tulisan kita mestilah mempunyai rujukan jika ia bukan dari ilham kita sendiri.

C. Pembentangan Proposal Thesis

Untuk proposal thesis aku pula sedih sekali untuk aku maklumkan di sini. Aku terpaksa membentangkannya sekali lagi pada 3 Mac 2011 bersama seorang lagi gadis yang mempunyai masalah yang sama iaitu memformulasikan soalan penyelidikan. Pensyarah yang sepatutnya mempertahan thesis aku bertengkar pula dengan seorang lagi pensyarah dari Pengajian Asia lalu kedua-duanya keluar dari bilik pembentangan. Hal ini mungkin menjadi petanda tidak baik kepada aku namun mungkin segala yang berlaku itu juga mempunyai hikmahnya. Aku sebenarnya telah lakukan yang terbaik berlari ke sana ke mari mencari pensyarah membuat temujanji dengan mereka yang sentiasa sibuk itu. Aku sangat sedih kerana proposal thesis aku ditolak jadi aku telah berlari ke surau di hostel Tekun menangis teresak-esak kerana aku tidak tahu hendak mengadu kepada siapa.

Dr. Benny Teh Cheng Guan mengulas bahawa soalan penyelidikan aku itu tidak cukup fokus. Aku sebenarnya berfikir untuk membuat sesuatu yang berkaitan dengan masyarakat minoriti di Eropah terutamanya mengenai masyarakat Muslim serta Islamofobia kerana aku rasa aku sendiri berasal dari komuniti tersebut jadi aku mungkin boleh merasai perasaan didiskriminasi. Dalam meneruskan pengajian ini sendiri pun aku tidak memohon atau menerima sebarang biasiswa pengajian. Hanya ibu bapa aku sahaja yang menjadi pembiaya pembelajaran aku.

Dr. Suresh Narayanan pula mencadangkan supaya aku memilih negara lain bagi tajuk yang aku ingin jalankan penyelidikan itu kerana beliau rasakan Britain sudah terlalu biasa. Mungkin aku boleh memilih Jerman dan minoriti masyarakat Turki namun aku perlu menelitinya terlebih dahulu kerana aku bukan membuat penyelidikan berkenaan sejarah di Eropah. Pengajian ini menyentuh pentadbiran, politik dan dasar di Kesatuan Eropah. Aku rasakan pentadbiran adalah sesuatu yang pada zahirnya konkrit juga jadi aku harus berhati-hati berbanding dengan penyelidikan berkenaan sejarah. Mungkin aku boleh memfokuskan mengenai Equal Programme di salah satu negara anggota atau membuat perbandingan antara dua negara anggota Kesatuan Eropah berkenaan dengan pelaksanaan dasar ini. Bagi Islamofobia atau persepsi terhadap komuniti Muslim di Perancis, seorang senior bernama Raja Faris sudah pun memilihnya. Dia pun kini sedang menulis penyelidikan masternya itu dengan tajuk tersebut jadi susah untuk aku mencadangkan tajuk ini kepada ahli panel.

Pagi semalam aku telah membuat tinjauan kertas mengenai Equal Programme di perpustakaan dan mendapati bahawa program ini bersangkut pula dengan dasar integrasi dan bangsa di Kesatuan Eropah. Selain itu, ia turut bersangkut dengan pasaran buruh di Eropah di bawah inisiatif European Social Fund atau Dana Sosial Eropah. Secara keseluruhannya Equal Programme ini adalah program yang melibatkan peluang pekerjaan dalam rantau Eropah.

Aku akan menyimpan dahulu tajuk ini untuk penyelidikan peribadi aku dan meneruskannya apabila aku kelapangan. Mungkin pada masa hadapan aku boleh berhubung dengan NGO untuk berbincang mengenai rangka kerja penyelidikan ini. Aku mendapat idea ini pun dari Dr. Ahmad Fauzi yang mengajar Sejarah Islam di Asia Tenggara kepada pelajar Pengajian Asia. Menurutnya, memelihara jatidiri Muslim dalam persekitaran bukan Islam maka masyarakat minoriti Muslim perlu berjuang supaya undang-undang Syariah diiktiraf untuk masyarakat Muslim dan Pendidikan Islam dirasmikan di Eropah. Hal ini berbunyi mudah dari segi pandangan seorang pensyarah sejarah namun bagaimanakah hal ini berkaitan dengan dasar pekerjaan dan buruh di Eropah? Buat masa ini aku hanya ingin lulus proposal thesis sahaja dahulu.

D. Cadangan Tajuk Thesis Baru

Aku ingin membuat penyelidikan yang berkaitan dengan satu dasar yang konkrit tanpa sebarang teori namun aku haruslah mempunyai definisi bagi penyelidikan dahulu. Sukar sekali untuk aku berhujah dengan ahli panel selain aku bukan jenis orang yang suka berhujah atau bertengkar. Aku suka berbincang dan berbual secara biasa sahaja. Mungkin aku perlu memeriksa dan menganalisis lompang yang boleh aku isikan mengenai program di atas itu semasa menjalankan penyelidikan.

Dr. Lye Tuck Po menyatakan bahawa aku seharusnya sudah selesai pun dengan proposal thesis baru aku sebelum Khamis minggu hadapan. Keesokannya pula aku akan menduduki ujian pertama iaitu kursus SAE514 European Common Policies. Tekanannya Tuhan sahajalah mengetahuinya.

Sebelum ini pun aku menukar soalan penyelidikan aku sebanyak empat kali apabila aku bercakap dengan pensyarah yang berlainan. Setiap kali soalan penyelidikan berubah, semua sekali dalam proposal thesis itu berubah. Mereka juga telah menugaskan seorang pensyarah dari kursus lain untuk menjadi pemantau namun aku rasa itu adalah kesilapan yang berasal dari tajuk penyelidikan aku sendiri. Namun, aku sudah tak punya banyak masa lagi untuk berfikir dalam-dalam. Masa setahun yang mereka berikan itu pun sebenarnya dipenuhi dengan kekeliruan dan aku sendiri terikat dengan kelas yang datang dengan pelajaran baru pula. Aku hanya mempunyai sedikit gambaran kasar mengenai proposal thesis baru aku. Ia kabur-kabur sahaja. Aku perlu mendapatkan latar belakang, soalan penyelidikan dan mengehadkannya hanya kepada dua soalan sahaja iaitu soalan primer dan soalan sekunder sekurang-kurangnya untuk proposal ini.

E. Ambang Peperiksaan

Kini, setiap orang pun bertungkus-lumus berhadapan dengan peperiksaan masing-masing. Tidak terkecuali budak-budak Tabligh tersebut tanpa mengira kursus apa yang mereka ambil. Seluruh ahli jemaah dalam surau hostel Tekun pun sibuk dengan peperiksaan masing-masing. Aku telah menghantar mesej pesanan ringkas kepada karkun Firdaus memohon maaf jika aku menimbulkan rasa tidak selesa kepada dia apabila aku bertanya banyak soalan. Aku berterima kasih di atas kesabarannya menjawab soalan aku berkenaan dengan Jemaah Tabligh. Aku berharap pengajian aku ini sedikit sebanyak menjadi penyumbang kepada penambahbaikan dalam masyarakat di Malaysia.