Pada waktu pagi 11 Mei 2024 bersamaan dengan hari Sabtu ketika aku berjalan di depan pasararaya kecil Pepijat Merah di Shaftbury, tiba-tiba aku ditegur oleh seorang lelaki Pakistan dalam bahasa Urdu. Dia meminta sedikit wang kepada aku dan menunjukkan satu catitan di kertas yang menunjukkan keperluan ubat-ubatan yang diperlukan olehnya. Sambil itu dia menunjukkan kesan kecederaan pada bahagian abdomennya kepada aku. Aku dapati pattern ini hampir sama seperti yang berlaku di hadapan masjid di bandar ini pada Hari Raya pertama tahun ini di mana seorang lelaki Bangladesh berlegar-legar di tempat letak kereta di masjid itu meminta sedekah ihsan wang dari jemaah masjid. Ketika itu aku tidak membantu lelaki Bangladesh itu walaupun aku nampak tangannya luka.
Berbalik kepada kes lelaki Pakistan itu, aku melarikan diri darinya tetapi selepas itu aku kembali kepadanya dan bertanyakan beberapa soalan kepadanya. Terjadi sedikit dialog tetapi lelaki itu tidak fasih berbahasa Inggeris dan tidak boleh berbahasa Melayu jadi aku terkial-kial bercakap dalam bahasa Urdu dengannya meminta butiran dirinya kenapakah dia sampai cedera begitu. Dia memberitahu bahawa dia bekerja dengan majikan secara tidak terikat dan menerima gaji harian. Dia memberikan alasan bahawa dia telah terjatuh semasa bekerja di tapak binaan di Kuala Lumpur dan menunjukkan pasportnya. Aku nampak seperti dia datang dengan visa yang lain tetapi dia bekerja pula tidak mengikut pengkhususan visanya. Dia memberitahu bahawa visanya hampir tamat dan dia mahu terus pulang ke negara asal saja. Dia singgah sebentar di bandar ini kerana ia berdekatan dengan lapangan terbang.
Sementara bertolak kembali, dia meminta belas ihsan dari orang ramai untuk wang makanan dan wang perubatan. Aku bertanya tidakkah dia mahu membuat sebarang aduan atau tuntutan berhubung kecederaannya? Dia berterima kasih dan memberitahu dia tidak mahu membuat sebarang aduan. Dia sendiri pun ingin pulang ke negara asal secepat mungkin. Jadi, aku malas hendak bersoal jawab lagi. Aku hanya memberikannya sebanyak RM 20.00 sahaja untuk wang makanan. Dia berasa hairan dan ingatkan aku bercakap bahasa Hindi. Pada anggapannya aku mungkin seorang Nepal berdasarkan pemakaian aku yang tidak nampak seperti seorang Muslim.