16 Januari 2011 - Tabligh

Syukur selesai sudah pembentangan peringkat awal aku. Pensyarah subjek Kaedah Penyelidikan agak membantu dan juga jenis tidak berkira. Aku menghargai bantuan yang diberikan oleh para pensyarah jadi aku kini mempunyai banyak masa untuk menilai semula bahan-bahan yang aku kumpulkan. Aku akan mengambil peluang ini untuk menulis mengenai pengalaman aku pada hari ini.

Pada pagi ini aku telah tertidur selepas bersolat Subuh. Tiba-tiba Firdaus, seorang karkun Tabligh menghubungi telefon aku sekitar jam 9.58 pagi dan mengingatkan aku mengenai satu program di masjid. Aku yang menerima panggilan itu secara tiba-tiba pun berasa terharu kerana aku memang tinggal berseorangan di tingkat 10 yang paling atas sekali di hostel Tekun itu. Bahagian itu dikhaskan kepada pelajar pascasiswazah dan doktor falsafah kerana kononnya mereka perlu ketenangan sedangkan bukan semua pun pelajar peringkat ijazah lanjutan itu belajar sepenuh masa atau tinggal di hostel itu sepanjang masa. Sesetengahnya menyewa bilik namun mereka bekerja dan tinggal di rumah mereka di luar. Mereka hanya datang pada masa tertentu sahaja untuk berhubung dengan supervisor tesis atau disertasi mereka. Jadi, aku keseorangan sahaja sepanjang masa di bilik. Hanya Tuhan sahaja tahu betapa sunyinya aku tanpa perhubungan dengan manusia lain di atas kayangan itu.

Kalau di rumah pun, aku sebenarnya banyak mengikut ibu aku ke surau untuk aktiviti kelas agama beliau itu. Bagi orang tua, itulah aktiviti sosial mereka bertemu dengan rakan-rakan sambil belajar dan menghabiskan masa dengan perkara yang bagi mereka bersesuaian dengan usia mereka. Kadang-kala aku mengikut bapa aku minum-minum atau ke surau yang berdekatan dengan rumah kami. Bapa aku berasa kekok untuk mengikut ibu aku tahu sahajalah. Beliau bukan seorang mak cik, beliau adalah seorang lelaki tua. Beliau tiada kawan di Putrajaya itu, kalau aku pulang ke rumah bercuti semester maka aku sahajalah kawan beliau.

Berbalik kepada cerita Firdaus ini, maka aku pun bersetuju sahaja mengikut program mereka dan bersedia mendengar mesyuarat mereka di masjid USM itu. Disebabkan aku tiada kawan pun di Universiti Sains Malaysia (USM) pada ketika itu maka aku teringat pula kata-kata Ali r.a. bahawa, "Orang yang menyedihkan sekali dalam kalangan manusia itu adalah orang yang gagal mencari saudara semasa hayatnya. Lebih menyedihkan lagi nasibnya itu adalah apabila dia yang bertemu seorang saudara namun dia kehilangannya pula."

Disebabkan aku pun keseorangan di USM itu maka aku pun menghargai apabila ada orang yang mengajak aku bersosial walaupun cara bersosial mereka itu mungkin agak kekok buat aku. Aku sebenarnya mengajak Firdaus melawat bilik aku dan mengajar aku mengenai prinsip Tabligh mereka itu supaya aku faham. Aku tak tahu pun yang kelompok Tabligh ini mempunyai kitab dan himpunan hadis mereka sendiri. Namun, dia langsung tidak melawat aku. Dia hanya meminta aku ke mesyuarat di masjid mereka yang berlangsung pada hari ini. Aku hanya bersetuju dan memandang positif, mungkin aku boleh melihat bagaimana mereka menjalankan kegiatan sosial mereka.

A. Pengalaman dengan Tabligh

Berdasarkan pemahaman asas aku, kelompok ini menggelarkan kerja dakwah mereka itu sebagai 'kerja agama' atau Tabligh. Ia adalah kegiatan yang pernah dijalankan oleh nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat baginda. Aku membuat beberapa carian di Google mengenai Tabligh untuk mendapatkan sedikit maklumat. Terdapat beberapa pandangan yang positif dan juga yang negatif mengenai ahli pergerakan mereka. Sebenarnya, bapa saudara sebelah ibu aku pun merupakan ahli pergerakan ini. Beliau menyertai pergerakan ini mungkin selepas menyedari bahawa kehidupan lamanya yang tidak secocok dengan keinginannya. Sejujurnya, aku tidak begitu berminat pun dengan pergerakan ini sebelum ini dan bapa aku pun tidak membenarkan aku mengikuti sebarang pergerakan yang pelik-pelik. Selain itu, aku tidak mempunyai hubungan yang baik atau pun rapat dengan saudara aku di sebelah mana pun jadi aku tidak terasa hendak mengambil tahu mengenai perkara yang mereka lakukan. Sepupu aku iaitu anak kepada bapa saudara Tabligh aku seperti Elyas pun nampak seperti berlagak sahaja.

Selain itu, aku sebenarnya bukanlah seorang yang tuli mengenai isu agama. Aku pun mempunyai pendidikan agama yang diperolehi dalam sekolah harian dan sekolah agama sehingga ke peringkat menengah rendah. Cuma persekitaran menyebabkan aku terasa tidak berminat untuk menunjukkan minat mengenai hal-hal sebegitu. Kalau aku pulang ke kampung, arwah datuk sebelah ibu aku nampaknya seperti berpandangan tinggi kepada keluarga bapa saudara Tabligh aku itu manakala kami yang sering pulang dan terlibat menjaga beliau serta nenek aku itu pula diperlecehkannya. Keadaan ini seterusnya menjadikan aku lebih tidak berminat lagi dengan perkara keagamaan. Datuk sebelah ibuku itu pernah dilantik menjadi imam pertama di masjid Ali-Imran, Kampung Ulu Pauh, Arau di Perlis. Selepas arwah nenekku jatuh sakit, kami membawa mereka ke Lembah Klang kerana tiada sesiapa yang menjaga mereka.

Selepas arwah datukku meninggal dunia, aku terasa bersalah pula kerana aku terasa tersinggung dengan sikapnya yang memperlecehkan aku serta keluargaku. Aku mendapat maklumat dari kakak aku yang ketiga bahawa beliau menulis surat dalam huruf Jawi meminta maaf kepada aku dan adik-beradikku yang lain jika beliau menyakiti hati kami sebelum beliau meninggal. Aku tiada rasa marah lagi kepada arwah dan cuba bersopan santun dengan semua orang selepas itu termasuklah dengan ahli pergerakan Tabligh yang aku temui di hostel RST itu.

B. Mesyuarat Tabligh

Berdasarkan kepada mesyuarat yang aku hadiri di masjid USM itu, aku mendapati bahawa mereka sangat menekankan mengenai kepentingan 'kerja agama' dan menerima beberapa maklumat berkenaan dengan kegiatan yang dijalankan oleh pergerakan Tabligh itu:

  • ahli pergerakan Tabligh dalam kalangan pelajar haruslah menguruskan masa dengan baik dan menyiapkan tugasan yang diterima sebelum menyertai khuruj atau keluar menyebarkan ajaran Islam; dan
  • mereka mengadakan sesi seperti yang aku selalu lihat selepas solat Isya' iaitu mereka meminta nama untuk disenaraikan dalam buku nota bagi kegiatan khuruj.
Aku memahami sedikit amalan keluar selama tiga hari, 40 hari atau empat bulan mereka yang mana mereka akan ke negara Asia Selatan seperti India, Pakistan atau Bangladesh. Aku pelik juga kenapakah mereka tidak ke kota suci Mekah atau Madinah tapi aku dimaklumkan bahawa pusat pengajian mereka yang berasaskan kepada kaedah Deobandi itu bertumpu di India.
 
Aku mengelakkan daripada memberi nama kepada mereka kerana aku rasa aku tak berkelayakan walaupun salah seorang ketua mereka mengatakan bahawa seseorang itu tidak memerlukan kelayakan pun untuk menyelamatkan masyarakat dari kebejatan. Hal yang sama ini sebenarnya aku pernah baca juga dalam satu buku tasauf.
 
C. Kelayakan Tabligh
 
Selama aku berada dalam tempoh keseorangan ini, sirah nabawi atau sejarah hidup nabi Muhammad s.a.w sangat-sangat mempengaruhi diriku ini. Tahap permulaan bagi nabi Muhammad s.a.w semasa berada di kota Mekah pun adalah baginda secara bertahap mengasingkan dirinya di Gua Hira' di pinggir kota Mekah. Ketika itu, baginda mula menerima wahyu dan hikmah melalui perantaraan malaikat Jibril a.s. Baginda tidak menyebarkan ajaran Islam secara terang-terangan kerana baginda keseorangan. Ajaran Islam disebarkan di peringkat keluarga dan suku kaum baginda sahaja. Selepas itu, ia melebar kepada sahabat terdekat baginda dan selanjutnya ke negara-kota berjiran di Yatrib serta Habsyah.
 
Berdasarkan kisah nabi Muhammad s.a.w ini aku berpendapat bahawa aku masih lagi di peringkat asas. Hal ini tidak bermaksud bahawa aku tidak menjalankan sebarang kerja dakwah cuma aku hanya menjalankannya secara senyap-senyap menerusi doa serta hikmah. Pada pandanganku, kita boleh mendoakan orang serta makhluk di sekeliling kita sama ada yang nyata atau ghaib supaya mereka menerima cahaya hidayah serta keberkatan yang meluas dari Tuhan. Kita juga boleh bersikap dengan mengikut ajaran al-Quran yang merupakan firman Tuhan itu.
 
D. Tamat Mesyuarat Tabligh
 
Mesyuarat Tabligh itu selesai dan peserta mesyuarat itu makan nasi briyani dengan gulai ayam dalam talam bersama-sama. Aku tidak biasa dengan keadaan itu jadi aku cuma makan sedikit untuk memastikan bahawa aku bersopan dengan mereka sebagai tuan rumah mesyuarat. Selepas itu, aku meminta diri kerana aku rasa meloya. Sampai di Sungai Dua, aku terus termuntah di lorong belakang kedai-kedai di situ. Aku anggap hal ini sebagai pengorbanan aku untuk berhubungan baik dengan rakan-rakan satu hostel tanpa mengira kecenderungan aliran pemikiran mereka.
 
Secara peribadinya, aku pun membaca kisah-kisah nabi sejak kecil kerana bapaku pun mementingkan ilmu pengetahuan. Beliau memang suka membeli buku atau mengutip bahan ilmu yang ditemuinya. Aku tak pasti jika nabi Muhammad s.a.w sentiasa makan dalam talam bersama empat orang atau semasa hayat baginda itu ada orang menjual beras basmathi atau gulai ayam di kota suci Mekah atau Madinah. Aku agak nabi Muhammad s.a.w mungkin hanya makan roti tepung yang kering, ayam bakar, buah tamar atau minum air kosong sahaja bersama sahabat baginda. Makan nasi briyani dengan gulai ayam menitis dari janggut itu kelihatan seperti kebudayaan serantau di Asia Selatan kerana penggunaan rempah ratus di rantau Arab berbeza dengan rempah yang digunakan di benua kecil India.
 
Karkun Firdaus kemudian menghubungi telefon bimbit aku bertanya sama ada aku mahu dihantar oleh mereka pulang ke hostel? Aku hanya memberitahu bahawa aku perlu bertemu rakan sekelas untuk menyelesaikan tugasan sedangkan ketika itu jam sudah 1.00 tengah hari dan aku sebenarnya termuntah di belakang kedai. Aku ke restoran makanan ringan untuk mendapatkan makanan bagi mengelakkan pitam. Pada jam 5.00 petang, aku bertemu pula dengan Emad Shams, pelajar dari Gaza, Palestin dan Celia Perez, seorang pelajar pertukaran dari Sepanyol untuk pembentangan LIFE + Fund in EU yang akan berlangsung pada hari Khamis ini.
 
Aku menghantar mesej pesanan ringkas kepada Karkun Firdaus dalam bahasa Inggeris, "Salam, thanks inviting me. I am sorry I have to leave early. I meet my classmates for assignment at Sungai Dua. Sorry not participating in name-giving (for khuruj). I believe that angels of peace are recording everyone's deeds (before Allah). I agree with most of those (Tabligh) leaders said. Anyhow, you have my prayers and moral support. It is not easy to see youngsters into religion. It is a grace from Allah."
 
E. Kesimpulan
 
Sebagai kesimpulan, aku percaya bahawa setiap orang mempunyai sistem atau kaedah menyebarkan dakwah mereka yang boleh dijejaki salasilahnya dari tradisi nabi Muhammad s.a.w serta nabi-nabi yang lain dalam keimanan Islam. Pada pandangan aku, kita tidak berhak mengatakan bahawa kaedah mereka salah sebelum kita mendengar penjelasan mereka atau membuat pemerhatian dasar di lapangan. Jadi, setakat ini sahajalah pengalaman yang terbit dari rasa ingin tahu aku pada hari ini.