19 Februari 2011 - Bermalam di Masjid Benggali

Pada hari Khamis yang lalu aku telah dijemput oleh Karkun Ridhwan untuk menyertai kegiatan di pusat Tabligh di Georgetown. Karkun Ridhwan ini adalah rakan di hostel yang berjiran. Aku mengenalinya semasa menyertai taklim atau bacaan bahan Tabligh di surau hostel Tekun. Beliau menyuruh aku menghubungi Karkun Firdaus jika aku berminat untuk menyertai kegiatan mereka di Masjid Bengali yang menjadi pusat kegiatan mereka.

Pada minggu lalu, Karkun Firdaus sudah pun mempelawa aku namun aku menolak pelawaannya kerana aku menjalankan peribadatan peribadi dan membaca al-Quran pada setiap Jumaat. Namun, sejak rakan sebilik baru berpindah masuk aku terpaksa menghentikan kegiatan aku sebentar kerana dia sensitif dengan bunyi-bunyian. Bunyi dari earphone pun dia merungut walaupun aku sudah cuba memperlahankan bunyi bacaan al-Quran dan sebagainya.

Rakan sebilik baru ini bernama Abdel Jawad dari Palestin juga. Aku tak tahulah dia memandang aku ini seperti seorang kafir atau bagaimana. Dia kelihatan seperti hidup dalam dunianya sendiri dan sombong. Aku lihat dia membuat kedoktoran falsafah dalam bidang Terjemahan dan Interpretasi. Itu adalah bidang aku semasa aku di peringkat sarjana muda. Disebabkan dia sahaja aku terpaksa berfikir semula sama ada aku harus menyertai kegiatan di Masjid Benggali pada malam ini. Kenapa tidak? Kalau aku sertai kegiatan itu pun aku tak rugi apa sangat berbanding dengan aku kemurungan di bilik itu bersama dengan si Abdel Jawad. Lagi pun apa sahaja pengalaman boleh sahaja menjadi ilmu baru kepada aku pada ketika ini.

Jadi, aku menghantar mesej ringkas kepada Karkun Firdaus dan memberitahunya kesediaan aku menyertai mereka. Pasti dia gembira kerana berjaya dalam usaha tasykil nya itu. Tasykil bermaksud memujuk ahli baru, aku rasa seperti kelompok Kristian evangalis juga. Jadi, ini adalah antara istilah Tabligh yang aku pelajari dan sedari selepas aku bersembang dengan mereka, haha.

Dari segi penyertaan ke dalam Jemaah Tabligh ini aku rasa aku tidaklah sampai ke tahap ingin menyertai mereka. Aku cuma ingin mengetahui mengenai pergerakan mereka dan aku mahu mengelakkan rakan sebilik aku. Umat Islam sudah pun berpecah belah menjadi puak Sunnah, Syiah dan Khawarij. Takkanlah kita hendak memecahkan kategori kita lagi bukan?

Pada jam 6.30 petang, aku turun ke surau dan nampak Karkun Firdaus makan burger besar semasa sedang menunggu kenderaan. Beliau memberitahu aku bahawa ada orang yang memberinya burger itu. Aku tidak terasa lapar jadi aku rasa beliau tak perlu bersopan dengan aku pun jika hendak makan. Kami ke masjid dengan kereta yang dipandu oleh rakan Karkun Firdaus bernama Syafiq. Mereka memanggilnya sebagai Atok. Semasa dalam perjalanan, aku dengar mereka berasa hairan dan bersembang-sembang sesama mereka mengenai tokong kecil yang mengandungi patung Datuk Kong di tepi jalan. Tokoh tersebut disembah oleh orang Cina di sebelah Asia Tenggara sebagai penunggu tanah. Karkun Firdaus berkata, "mesti dia seorang Melayu siap pakai songkok dan nampak macam orang Melayu". Aku rasa seperti hendak menjelaskan sahaja hal itu kepada mereka namun aku rasa tak perlulah kot. Nanti mereka akan tahu juga lambat laun. Biar mereka lihat dan bercampur dengan masyarakat di luar kelompok mereka sendiri. Barulah mereka akan belajar mengenai kepercayaan dan kebudayaan orang lain sebelum mereka bertabligh kepada orang lain.

Kami tiba di Masjid Benggali hampir-hampir Maghrib. Lalu, kami bersolat Maghrib berjemaah dan ramai orang di masjid itu. Mereka datang ke situ untuk menyertai kegiatan dan aku boleh melihat ahli jemaah mereka menjual bahan-bahan seperti miswak atau kayu sugi, wangian, pakaian dan banyak lagi di hadapan pintu masuk masjid itu.

Mereka juga menyediakan makan malam namun aku enggan makan kerana ketika itu aku berpegang dengan prinsip keengganan menerima sedekah atau zakat. Berdasarkan tradisi kenabian nabi Muhammad s.a.w baginda dilarang mengambil harta umat Islam. Jadi, aku mengambil contoh ini dan cuba mengaplikasikan dalam kehidupan aku bagi mengelakkan kecelakaan.

Selepas solat Maghrib, kami mendengar bayan atau ceramah yang disampaikan oleh seorang guru Tabligh dalam bahasa Tamil dengan terjemahan dalam bahasa Melayu. Ramai jurubahasa di masjid itu yang menterjemahkan ceramah itu ke dalam bahasa Urdu, bahasa Arab dan bahasa Inggeris. Aku juga bertemu dengan Yunus, pelajar sarjana muda dari wilayah autonomi Xinjiang, China. Di situ aku berkenalan dengan Yunus dan mendapati bahawa beliau tinggal di hostel Restu. Ia masih lagi dalam lingkungan kawasan hostel aku cuma hostelnya ke atas sedikit. Yunus bertanya aku sama ada aku memahami teks al-Quran dalam bahasa Arab? Beliau menyampaikan pendapat bahawa beliau terkejut melihat orang Melayu membaca al-Quran dengan lancar namun mereka tidak faham apakah yang mereka bacakan. Kemudian beliau bertanya sama ada aku mempelajari pendidikan Islam menggunakan bahasa Melayu atau bahasa Cina di sekolah? Semasa berbual dengan pelajar ini aku berbicara dalam bahasa Cina. Aku hanya menjawab sudah tentu dalam bahasa Melayu. Aku belajar di sekolah rendah kebangsaan dan kemudian masuk ke sekolah menengah agama selama tiga tahun peringkat rendah.

Yunus meminta aku menterjemahkan ceramah yang disampaikan apabila kami bertemu di masjid lagi pada masa hadapan. Namun, aku berkata dalam hati tak payahlah aku cuma bercakap bahasa Cina komunikasi sahaja dan bukannya bahasa Cina tinggi. Sebelum aku boleh berkomunikasi dalam bahasa Cina pun entah berapa lama aku ambil membelek kamus mencari makna perkataan. Lagi pun aku lebih mahir dalam penulisan berbanding dengan berbicara.

Aku mula terasa lapar namun aku rasa tidak berselera hendak makan makanan dalam talam ahli Tabligh itu. Aku memaklumkan Karkun Firdaus bahawa aku mahu ke 7 Eleven di hadapan Hotel Orental. Ia terletak berdekatan sahaja dengan masjid itu lalu aku membeli roti dan air mineral. Karkun Firdaus mengikuti aku dan mempelawa aku mengikut mereka walaupun aku tidak makan dalam talam. Aku maklumkan bahawa tak mengapalah aku tidak biasa begitu. Aku berbual dengan Karkun Firdaus di hadapan 7 Eleven sambil duduk di bangku sambil mengunyah roti aku. Aku tidak sempat berkenalan dengan beliau jadi aku mengambil kesempatan ini untuk berkenalan rapat dengan beliau. Kami meninggalkan tempat itu apabila seorang gadis yang entah dari mana-mana muncul dari hadapan hotel serta bar di situ.

Ironinya, aku mendapati bahawa masjid tersebut berada berhadapan dengan dua kelab malam. Aku tidak membawa kamera dan aku memang menyesalinya namun aku dinasihati supaya tidak membawa sebarang barangan berharga. Mereka mencadangkan supaya aku membawa bantal kecil, pakaian, bantal kecil jika perlu dan selimut yang semuanya dilipat masuk ke dalam beg sandang. Selain itu, peserta di situ dilarang meninggalkan barangan berharga tanpa dijaga sesiapa kerana masjid itu adalah masjid yang terbuka. Mungkin lain kali sahaja jika aku mempunyai kesempatan maka aku akan mempertimbangkan mebawa kamera bersama dengan pelan keselamatan menjaga barangan aku.

Selepas itu, kami bersolat Isya' dan orang ramai mula membentangkan selimut tidur mereka. Aku nampak sesetengah mereka berbual-bual, bersolat sunat, membaca al-Quran atau hanya berbaring-baring di lantai masjid itu sementara yang lain sudah nyenyak tidur. Aku hanya memetik tasbih dan membaca maksurat petang kerana aku terlupa membacanya selepas waktu Maghrib. Selepas waktu Maghrib mereka sudah bergegas memulakan bayan dan mengambil nama untuk khuruj. Jadi, aku memang tak sempat memberikan tumpuan kepada maksurat.

Selain itu, aku bersyukur Karkun Firdaus tidak meninggalkan aku terpinga-pinga keseorangan. Beliau menjelaskan juga mengenai perkara-perkara yang sedang berlaku di dalam masjid itu. Jika tidak pastilah aku terasa asing di tengah-tengah ahli Jemaah Tabligh di situ. Aku tidak dapat tidur nyenyak kerana aku tak pernah tidur di ruangan solat masjid. Sekitar jam 4.00-5.00 pagi, beberapa orang sudah mula bangun dan bersolat witir. Karkun Firdaus masih lagi tidur jadi aku enggan mengganggunya. Aku berjalan perlahan-lahan melintasi mereka yang tidur untuk mandi bagi mengelakkan beratur panjang apabila orang ramai mula bangun nanti.

Selepas solat Subuh, mereka mengadakan taklim sekali lagi. Mereka asyik memberi tumpuan kepada ahli India kerana mereka akan menjalankan khuruj di India. Orang yang bertaklim itu memberitahu bahawa mereka dari Bihar dan Uttar Pradesh, India dan Bangladesh sangat dihormati semasa mereka menjalankan khuruj di India. Dia turut memaklumkan mengenai seorang ahli yang meninggal dunia di India kerana serangan jantung dan menurutnya wajah orang itu bercahaya kerana Tabligh yang dijalankannya. Mereka melihatnya semasa proses pengebumian jenazah. Hal ini adalah cerita mereka, aku tak mahu berspekulasi jadi aku mendengar sahaja.

Berkenaan dengan sikap keramah tamahan ahli Jemaah Tabligh di benua kecil India. Aku sebenarnya merasakan bahawa hal itu adalah kebudayaan orang India juga. Tidak semestinya itu adalah budaya Islam atau budaya Arab. Terdapat pepatah dalam bahasa Sanskrit yang menyebut 'athiti deivo' bermaksud tetamu itu adalah malaikat. Di sini, pepatah ini menekankan bahawa layanlah tetamu seperti melayan makhluk yang suci. Aku merasakan ia tidak semestinya berasal dari tradisi para sahabat nabi Muhammad s.a.w yang merujuk hal itu dengan istilah ikram atau memuliakan tetamu. Dalam penceritaan pemberi taklim itu aku terasa kadang-kadang seperti beliau melebih-lebih pula. Dia sendiri pun berasal dari India.

Selepas selesai kegiatan solat Subuh dan taklim mereka itu, kami pun pulang ke kampus. Namun, kami berhenti dahulu di Taman Sardon untuk bersarapan. Aku cuma makan meehoon sahaja walaupun aku sebenarnya terasa lapar. Semalam aku hanya makan sebungkus roti dan air kosong sahaja. Kami dibawa pulang oleh Fitri yang sebaya dengan aku dan beliau pun berasal dari Kedah. Beliau memandu kereta beliau.

Dari pemerhatian aku, kebanyakan karkun yang aku temui di hostel RST ini kelihatan agak kaya. Mereka mempunyai kereta dan belajar dalam kursus yang hebat juga seperti seni bina, kimia, fizik dan pendidikan. Kebanyakan mereka juga berkongsi kursus yang sama dan pensyarah mereka sendiri pun adalah ahli Jemaah Tabligh jadi mereka berhubungan baik sesama mereka. Hal ini bagi aku dapat memastikan kelangsungan kehidupan semasa belajar mereka seimbang dengan kegiatan Tabligh yang mereka sertai. Aku juga mendapati bahawa kebanyakan ahli Jemaah Tabligh di USM itu berasal dari Pantai Barat Semenanjung namun aku rasa pemerhatian ini mungkin hanya tertumpu di universiti sahaja. Aku pernah juga terjumpa ahli Jemaah Tabligh yang berasal dari Kelantan di perumahan aku.

Aku tidak nafikan aku mula membandingkan diri aku dengan mereka kerana semasa ijazah sarjana muda dahulu aku sebenarnya tidak rapat dengan pensyarah mahu pun rakan sekelas. Aku pernah juga menghadapi masalah dengan pensyarah interpretasi hanya kerana aku tidak menyertai kursus penampilan diri anjuran rakannya. Mereka memaklumkan bahawa kursus itu hanya pilihan namun mereka memaksa pula orang menghadirinya. Perangai yang hodoh sekali. Aku bukan tidak pernah bekerja sebelum masuk ke peringkat sarjana muda. Kini pun, aku terpaksa bergelut kerana aku menukar kursus yang sangat berbeza dengan kursus ijazah sarjana muda. Aku perlu bermula dari bawah semula namun di peringkat yang agak tinggi.

Aku sampai ke bilik pada jam 10.00 pagi dan tertidur selama beberapa jam. Nasib baik aku tidak terlepas solat Jumaat pada hari itu. Jadi, inilah pengalaman aku mengikut ahli Jemaah Tabligh ke markas mereka di Masjid Benggali, Georgetown. Pengalaman ini agak baru bagi aku kerana aku tidak pernah pun mengikuti bapa saudara aku ke kegiatan Tabligh beliau. Beliau pernah cuba memujuk aku namn bapa aku tidak membenarkannya. Bapa aku tidak mahu aku mengikut sebarang pertubuhan mungkin kerana beliau mendengar pelbagai cerita dari abang saudara beliau. Kini, aku sudah dewasa aku mempunyai pegangan aku sendiri dan aku juga mempunyai persepsi kognitif tersendiri.