Pertama sekali, aku berdoa supaya tiada sesiapa pun yang mengalami kesukaran seperti yang aku hadapi dalam beberapa minggu awal ini. Hari untuk pembentangan thesis mini bagi ijazah pascasiswazah aku hampir tiba iaitu pada 11 Januari 2011 bertepatan dengan 7 Safar 1432 di mana aku harus membentangkan sebanyak dua kali. Pembentangan pada hari itu hanyalah permulaan sahaja kerana selepas itu aku masih lagi mempunyai masa untuk meminda bahagian-bahagian di dalam tesis aku itu sebelum ia dihantar kepada panel pemeriksa. Bagi aku, tugasan ini sudah menjadi tanggungjawab kepada ibu bapa aku kerana aku terasa sudah menjadi beban kepada mereka apabila aku mengambil kursus mod campuran atau sepenuh masa ini. Kursus ini menyebabkan aku tidak bekerja tetap dan tidak mempunyai gaji bulanan bagi menampung kehidupan aku di Pulau Pinang.
Jujurnya, aku tiada sebarang idea mengenai apakah langkah yang seterusnya. Aku berfikir dan membuat sedikit pembacaan untuk mendapatkan idea sejak dari semester lepas namun aku masih belum mendapat sebarang gambaran mengenai Kesatuan Eropah (EU) yang menjadi tema kepada penyelidikan dalam thesis kecil ini. Pada pandanganku, EU ini kelihatan seperti pengajian yang konkrit lengkap dengan rangka kerja teori namun ia masih lagi berevolusi dari masa ke masa. Selain itu, aku perlu berhadapan dengan soalan penyelidikan atau kenyataan isu dan kaedah menganalisis data. Aku berpendapat bahawa agak sukar bagi seorang yang tidak mempunyai asas pengajian politik untuk memahami isu berkenaan pentadbiran. Ijazah sarjana muda aku adalah dalam bidang penterjemahan dan interpretasi dengan major dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Aku tidak mempunyai asas dalam bidang Sains Kemasyarakatan atau Sains Politik pun.
Aku tertanya diriku sendiri jua kenapa aku sanggup mengambil bidang yang aku sendiri tidak begitu biasa apabila menyambung ijazah sarjana? Jawapan kepada soalanku sendiri adalah, aku sebenarnya ingin menukar kursus pengajian namun aku tidak tahu bagaimana. Aku sudah membazirkan tiga tahun aku dalam ijazah sarjana muda yang tiada penambahan kemahiran pun kepada diriku. Selain itu, aku mempunyai pengalaman yang kurang baik dengan pensyarah dari bahagian interpretasi. Bukan sebab aku tidak menyukai mereka cuma aku rasa mereka agak angkuh tidak kena gaya sahaja. Lagipun, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sebenarnya bukannya bahasa asing di Malaysia. Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan di Malaysia sedangkan bahasa Inggeris adalah bahasa kedua di sini. Semua orang sekurang-kurangnya memahami bahasa Inggeris jika mereka tidak begitu fasih pun. Prinsip ekonomi menyebut bahawa tiada keperluan, maka tiada permintaan jadi kos ini sebenarnya tidak praktikal pun untuk aku. Jadi, aku berfikir bahawa menukar kursus di universiti yang sama mungkin boleh menjadi permulaan yang baru masa depan aku.
Malam Jumaat lepas, aku ada terfikir untuk membuat penyelidikan berkenaan dengan hubungan antara China dengan Eropah dari segi politik dan ekonomi namun selepas aku membuat sedikit perbincangan dengan rakan sekelas aku melalui sistem pesanan mesej ringkas dan mendapati bahawa dia sudah menempah tajuk tersebut. Oleh itu, aku perlu menukar tajuk lain kerana aku baru sahaja mendapat idea tersebut sedangkan dia sudah merancang untuk menyelidiki tajuk itu sejak semester lepas. Walau bagaimanapun, aku gembira kerana dia sudah mendapat idea untuk penyelidikan. Aku tidak mahu menjadi perampas kebahagiaan orang lain walaupun aku rasa seperti hendak pitam apabila mendapati bahawa aku perlu menukar tajuk penyelidikanku. Aku duduk sekejap di lantai bilikku meratapi diriku sambil menghormati hari suci.
Tidak berapa lama terpacul di benakku ayat 23 dari Surah Maryam yang bermaksud:
"Dan kesakitan melahirkan bayi itu menyebabkannya berpaut pada batang pohon kurma. Seraya menangis dia (kerana rasa marah dengan dirinya sendiri). Aduhai, kenapakah aku tidak mati sebelum hal ini terjadi?! Biar sahaja aku menjadi perkara yang dilupakan orang dan tidak kelihatan pada pandangan sesiapa!"
Ayat ini mengingatkanku mengenai seksaan dan dugaan yang ditempuhi oleh Maryam a.s. Beliau sendiri pun meratapi diri sendiri dan mengalami pengalaman yang menakutkan, terpaksa melahirkan seorang bayi tanpa bapa secara tiba-tiba sebelum redha menerimanya. Fikiranku pada ketika itu samalah seperti dalam surah ini. Aku merasai diriku ini tidak berguna dan otakku kosong sahaja. Aku terasa seperti ingin hilang dari pandangan semua orang dan tidak ingin dilahirkan di dunia ini pun. Jika dilihat pada ayat ini, Maryam terpaksa menempuhi dugaan dalam kehidupan ini dengan berani juga. Jika beliau sebagai seorang wanita, takkanlah aku sebagai seorang lelaki ini lebih lemah dari beliau? Aku kemudian membahaskan dengan diriku sendiri bahawa tesis miniku itu tidak sebanding pun dengan dugaan yang ditempuhi oleh tokoh dalam al-Quran ini. Semoga Tuhan merahmati roh wanita suci ini dan memberkati beliau di mana jua beliau berada kerana memberi inspirasi kepada diriku ketika aku berseorangan.
Aku mendapat idea kemudiannya. Aku akan cuba menggunakan perkara yang ada di sekeliling aku dan menjelmakannya mengikut tema pengajian ini. Prinsip pertama yang aku boleh gunakan adalah sikap tidak mementingkan diri sendiri dan berkorban demi kebajikan makhluk lain dalam alam ini, Jalan-Nya dan kebaktian kepada-Nya. Letakkan dalam mentalitiku bahawa tiada apa pun yang aku rugi sekiranya aku mengharapkan hanya wajah-Nya. Aku pernah terbaca mengenai kisah seorang ekspatariat wanita bernama Marwa al-Sherbini berkelahiran Mesir yang menjadi mangsa perkauman di Eropah. Beliau bekerja sebagai seorang ahli farmasi di Jerman. Dalam insiden malang di Mahkamah akibat isu beliau dihina di taman awam di Dreisden, beliau telah ditikam sehingga mati oleh lelaki imigran Russia yang terlibat dalam kes itu. Isu yang terkait dengan insiden ini pasti melibatkan burqa atau niqab iaitu tudung yang dipakai wanita Muslim di Eropah. Aku ingin mengetahui bagaimana hal ini mengganggu kepelbagaian di Eropah dan adakah slogan kesatuan dalam kepelbagaian di Eropah itu hanyalah satu retorik sahaja? Topik ini pastinya menyentuh bidang seperti perundangan dan hak asasi manusia serta beberapa konsep seperti diskriminasi serta Islamofobia di Eropah.
Banyak juga isu yang boleh dibincangkan mengenai Eropah moden namun bagaimana caranya untuk kita mengaitkannya dengan pengajian pentadbiran ini? Mungkinkah kita mengaitkannya dengan Eropah semasa zaman Perang Dunia Kedua? Risau juga aku akan tersangkut di universiti ini selamanya dan aku mungkin tidak menyelesaikan pun tesis mini ini.
Buat masa sekarang, aku akan mengikuti nasihat pensyarah dari kelas Kaedah Penyelidikan dahulu dengan membaca perlahan-lahan bahan yang aku kumpulkan. Aku akan cuba untuk bertenang dan meletakkan kepercayaanku kepada Tuhan.