24 Disember 2010 - Hamba Keadaan

Sebenarnya hari ini adalah hari jadi aku. Aku membaca nota-nota yang telah aku catitkan semasa mendengar ceramah di masjid mengenai tokoh ini. Aku juga mencatitkan ulasan mengenainya dari bahan bacaan sekeliling aku namun aku tak ingat sumbernya pula. Jadi, sempena hari jadi aku ini aku membuat masukan yang ditujukan khas untuk tokoh ini.

Tokoh yang aku gariskan di sini adalah Umais al-Qarni, salah seorang sahabat dan pengikut nabi Muhammad s.a.w. Beliau hidup pada zaman nabi Muhammad s.a.w namun sepanjang kehidupan beliau itu, beliau tidak pernah bersua muka bertemu dengan nabi Muhammad s.a.w. Hal ini kerana, beliau sibuk menjaga ibunya walaupun beliau sudah menerima seruan terhadap Islam.

Beliau ingin sekali bertemu dengan nabi Muhammad s.a.w sehinggalah pada satu hari, beliau meminta kebenaran dari ibu beliau. Ibu beliau membenarkan beliau ke Madinah bertemu dengan nabi Muhammad s.a.w namun beliau mesti pulang secepat mungkin selepas pertemuan tersebut. Apabila beliau tiba di Madinah, beliau mendapati bahawa nabi Muhammad s.a.w tiada di rumah dan terlibat dalam satu peperangan. Beliau dengan penuh kecewa pun pulang semula ke Yaman.

Tokoh ini sebenarnya adalah seorang yang miskin dan mengembala kambing. Beliau telah menghabiskan kesemua wangnya untuk perbelanjaan ke kota Madinah bertemu dengan nabi Muhammad s.a.w namun beliau patah harapan apabila mendapati bahawa nabi Muhammad s.a.w tidak berada di rumah. Apabila nabi Muhammad s.a.w pulang dan tiba di rumah, Aisyah r.a. pun cuba memberitahu bahawa ada tetamu yang bertandang di rumah mereka. Namun, nabi Muhammad s.a.w sendiri terpacul bertanyakan, "Ada sesiapakah yang ingin bertemu dengan aku? Tangannya ada tanda putih?" Berdasarkan persoalan ini, Tuhan telah memaklumkan kepada nabi Muhammad s.a.w bahawa Umais ingin bertemu dengan baginda.

Seterusnya nabi Muhammad s.a.w bersabda kepada para sahabat bahawasanya, "Jika kamu semua bertemu dengan lelaki yang bernama Umais al-Qarni ini, maka mohon kepadanya supaya mendoakan keampunan dari Tuhan kepadamu kerana beliau ini adalah seorang ahli syurga."

Sesetengah orang mempersoalkan sama ada tokoh ini boleh dianggap sebagai sahabat nabi Muhammad s.a.w. atau tidak kerana seorang sahabat itu mestilah seseorang yang pernah bertemu dengan nabi Muhammad s.a.w semasa hayat baginda.

Pada zaman pemerintahan Umar al-Khattab r.a. sebagai khalifah, beliau ingin bertemu dengan Umais al-Qarni. Lalu, beliau pun menuju ke Yaman dan bertemu dengan lelaki yang mempunyai tanda putih di tangannya itu. Beliau memohon supaya Umais al-Qarni mendoakan beliau lalu Umais al-Qarni pun berasa hairan. Beliau hanyalah seorang miskin yang tidak berpendidikan. Kenapakah khalifah sampai bertemu beliau memohon beliau untuk hal ini?

Dari riwayat ini, guru-guru memaklumkan kita bahawa Tuhan meletakkan Umais al-Qarni pada kedudukan terhormat kerana cinta kasih beliau terhadap nabi Muhammad s.a.w. Pada masa yang sama, beliau juga adalah seorang anak yang taat dan bakti kepada ibunya. Dari hal ini juga, terdapat pepatah Arab yang menggambarkan keadaan Umais al-Qarni ini iaitu, "manusia ini sentiasa diperhambakan oleh keadaannya."