Pada malam ini aku telah membuat rujukan di laman sesawang "Mufti Wilayah Persekutuan" berkenaan dengan syaitan yang dikenali sebagai Dasim kerana seorang kawan aku menceritakan bahawa hari ini semasa dia dalam keadaan separa sedar dan tidur melihat satu lembaga hitam berbentuk bulat naik ke tempat tidurnya dan memaklumkan kepadanya bahawa namanya adalah, "Dahim". Aku berfikir lama dan meneka bahawa mungkin makhluk itu memaksudkan bahawa dia adalah "Dasim" tapi didengari oleh kawanku sebagai "Dahim".
Jadi, dalam rujukan yang mencatitkan sumber, Faidh al-Qadir 2/503 yang aku buat itu, Imam al-Munawi menyebut bahawa Mujahid berkata, iblis mempunyai anak-anak yang mungkin bermaksud spesis makhluk halus yang terbit daripadanya sebanyak lima jenis iaitu:
- Shibr yang bekerja membinasakan manusia dan menyeru mereka kepada kejahilan.
- Al-A'war yang bertugas menggoda dan menyeru manusia ke arah zina.
- Saut yang menggoda manusia supaya mereka berdusta dan menipu.
- Dasim yang menimbulkan kekecohan dalam keluarga sehingga berlaku permusuhan.
- Zalanbur iaitu syaitan yang berada di pasar agar berlaku penipuan dan juga perkara buruk.
Namun sandaran sumber ini tidaklah begitu kukuh jadi ia hanya boleh dijadikan rujukan biasa sahaja dan bukan untuk kita berpegang kepadanya.
Rujukan boleh dibuat dari rencana berjudul, "Doa Masuk Tandas serta Feqahnya" dari Irsyad al-Hadith Siri ke-75 oleh Muhammad Mushfique Bin Ahmad Ayoup.