Sudah agak lama aku meninggalkan halaman ini. Mungkin ia berhabuk sedikit jadi aku mengibasnya pada hari ini. Aku sebenarnya sibuk berurusan dengan pembukaan semester. Banyak sekali urusan yang perlu diselesaikan dengan bahagian pengurusan asrama dan universiti. Namun, aku akan cuba memastikan bahawa diri aku diberikan peringatan oleh diriku sendiri.
Aku ada terbaca mengenai perbincangan mengenai perca naskah al-Quran dari Yaman. Aku mendapati bahawa ia berguna kerana banyak sekali buku rujukan orientalis pada zaman penjajahan yang menyemai sentimen anti-Islam disebarkan di pasaran manakala bahan dari sarjana Muslim pula terbatas di dalam bahasa tempatan rantau mereka berdiam.
Sebelum itu, aku pernah membaca buku mengenai pengumpulan al-Quran sejak ia diwahyukan kepada nabi Muhammad s.a.w namun ia ditulis dalam bahasa Melayu. Aku tak sempat mengambil gambar buku itu, jadi aku tidak dapat menempelnya di sini sebagai rujukan.
Buku di atas adalah karya Dr. al-Azami. Dari sinopsisnya, aku mendapat maklumat mengenai kaedah teks al-Quran dipelihara sepanjang sejarahnya merangkumi bahagian di mana ia diwahyukan kepada nabi Muhammad s.a.w dan peranan baginda dalam mengajarinya serta menyebarkannya ke khalayak umum. Selain itu, bentuk terakhir teks al-Quran turut dipaparkan tidak lama selepas kewafatan nabi Muhammad s.a.w. Buku ini turut menyebut mengenai mushaf Ibnu Mas'ud dan asal-usul bahasa Arab. Paleografi dan ortografi bahasa Arab serta kaedah pengumpulan perca teks al-Quran yang ketat juga turut dibincangkan. Aku rasa buku ini wajar disimpan sebagai rujukan di perpustakaan masjid atau di perpustakaan sekolah.
Rujukan
Buat rujukan dalam halaman ini (klik di sini) dan tambah ulasan di sini sekiranya perlu. Bagi sesiapa yang boleh berbahasa Arab maka silalah klik di bahagian yang ditebalkan itu untuk merujuk perbincangan di halaman tersebut. Terima kasih.
