31 Januari 2010 - Cuti Semester

Cuti semester telah pun bermula serentak dengan perayaan Tahun Baru Cina pada hari Khamis yang lalu. Cutinya pun cuma seminggu sahaja. Aku bosan dengan rakan sebilik yang berbangsa Palestin itu. Dia asyik memekak sahaja dan tidak peramah pun sebenarnya. Sebelum itu, aku pernah mempunyai teman sebilik Palestin juga dan kemudian seorang lelaki tua Indonesia masuk selepas Palestin itu berpindah untuk tinggal di luar. Maaflah kalau aku tidak berminat dengan isu konflik di negara mereka kerana mereka pun sombong dan angkuh!

Jadi, aku membuat keputusan untuk bersiar-siar di sekitar Georgetown. Sejak berada di Penang selama empat tahun di peringkat sarjana muda, baru sekarang aku berkesempatan untuk melawat Georgetown secara serius. Sebenarnya banyak juga tempat di Penang yang aku belum terokai disebabkan oleh yang terutamanya kekangan kewangan dan aku tiada kenderaan sendiri. Kalau mengharapkan rakan, siapa sahaja rakan aku di USM itu? Jadi, berbanding dengan aku berfikir banyak mengenai siapakah yang akan menemani aku bersiar-siar lebih baik aku keluar sahaja berseorangan. Sudah semestinya aku takut-takut juga bimbang bandar itu tidak selamat namun sebelum aku keluar aku cuba membiasakan diri bersolat sunat untuk mengelakkan kecelakaan dan memohon perlindungan Tuhan.

Dipendekkan cerita, aku pergi ke Georgetown dengan menumpang bas Rapid Penang bermula di perhentian bas di hadapan Restoran Khaleel. Aku tak buat sebarang perancangan pun, cukup sahaja dengan senarai tempat yang aku ingin lawati dan lihat. Aku hanya membayar tambang RM 2.00 sahaja untuk satu hala perjalanan dan seterusnya pula aku membelanjakan wang untuk makanan. Aku tak makan banyak pun sebenarnya.

A. Masjid Kapitan Keling

 

Aku membawa beg berisi sedikit pakaian untuk sebarang kes dan kamera untuk menangkap gambar kenangan. Aku bergerak ke Georgetown pun sekitar jam 12.00 tengah hari. Sudah tentu aku akan tiba di pusat bandar Georgetown dalam waktu Zohor. Tempat pertama yang aku lawati adalah Masjid Kapitan Keling.

B. Persimpangan Komtar

 

Selepas itu, aku mula berjalan sambil menangkap gambar. Di sini aku lampirkan beberapa gambar yang aku sempat rakamkan. Aku bukan seorang jurugambar profesional dan nampaknya juga tidak berbakat dalam bidang fotografi. Jadi, aku ambil gambar pun cukup setakat untuk kenangan dan petanda bahawa aku telah berada di situ. Gambar di atas ini, aku tangkap berhampiran dengan KOMTAR di jejambat simpang. Dari jejambat tersebut kita akan dapat melihat persimpangan dari atas.

C. Jalan Macalister


Aku kurang ingat jalan atau lorong manakah yang telah aku lalui. Namun, aku percaya bahawa aku sudah berjalan di sekeliling tanpa berhenti untuk mengambil peluang mencatit nama-nama jalan. Aku ingat, aku berjalan sepanjang Jalan Macalister seperti gambar di atas. Sepanjang Jalan Macalister itu, aku dapat melihat gerai-gerai makanan Cina. Aku cuba mencari Jalan Zainal Abiddin yang sebelum ini dikenali sebagai Jalan Yahudi. Aku pernah mendengar bahawa kelompok bangsa itu pernah tinggal di jalan itu dan kubur mereka juga berada di situ sebelum mereka terpaksa keluar akibat minyan Yahudi yang sedikit dan mungkin juga sentimen anti-Yahudi meningkat di Malaysia.
 
D. Masjid Pakistan
 
 
Aku cuba mencari surau atau masjid sekurang-kurangnya untuk bersolat Asar kerana sudah masuk waktunya. Aku bertemu dengan Masjid Pakistan dan sempat bersolat bersama dengan jemaah di situ. Aku tak dapat menghabiskan masa di situ kerana aku berjalan kakai jadi aku harus mengikut masa yang aku tetapkan seperti dalam senarai yang aku sediakan semalam. Masjid Pakistan ini tak besar pun, jemaahnya pun sedikit sahaja ketika solat Asar.
 
E. Pusat Sun Yat Sen
 
 
Semasa dalam perjalanan ke Jalan Zainal Abiddin, aku melalui Pusat Sun Yat Sen yang diketahui oleh orang Cina di Malaysia sebagai salah seorang pemimpin parti Kuomintang. Sedikit maklumat, Parti Kuomintang ini adalah parti nasionalis Cina yang membentuk Republik China sebelum perang saudara dan terpecahnya China menjadi Republik China (ROC) dan Republik Rakyat China (PRC). Ramai juga Muslim dari China dari wilayah Yunnan dan Guangxi di selatan China yang terlibat dalam pergerakan parti ini namun orang ramai tidak mengetahui kerana mereka menggunakan identiti China. Malang sekali aku tidak dapat masuk melihat di dalam pusat itu kerana ia sudah pun ditutup ketika itu. Mungkin aku boleh melawatnya pada hari lain, jika aku berkesempatan atau rajin.

F. Jalan Zainal Abiddin


Sampai juga aku di Jalan Zainal Abiddin. Aku dapat melihat kawasan berpagar yang mengandungi kubur orang Yahudi. Kubur tersebut dijaga oleh keluarga Tamil dan pagarnya pun berkunci. Aku nampak mereka memelihara anjing dan aku malas hendak bersembang panjang dengan penjaga kubur itu jadi aku hanya mengambil gambar sebagai bukti seperti di bawah.

 
Rasanya, penjaga kubur itu diupah oleh keluarga orang Yahudi yang meninggal dunia di situ sebelum mereka berpindah keluar dari Penang yang semasa itu mungkin masih lagi jajahan British ke negara seperti Singapura atau Australia. Aku ternampak seorang lelaki juga di dalam kawasan kubur itu sedang membaca batu nisan di dalamnya mungkin mencari ahli keluarganya.
 
G. Kuil Buddha di Georgetown
 
 
Gambar di atas itu adalah pintu gerbang masuk ke kawasan Wat Buppharam, sebuah kuil Buddha Siam di Jalan Perak. Aku masuk sebentar melawat sebagai seorang pelancong. Terdapat bilik-bilik di dalam wat itu yang mengandungi patung sami-sami tua seperti wali keramat mereka. Ada senarai tikam nombor di dewan sembahyang utama untuk orang awam. Aku tak faham macam mana mereka boleh membenarkan hal sebegini sebab ajaran Buddha mengajarkan supaya jangan berspekulasi dan tikam nombor itu boleh dikatakan sebagai spekulasi juga. Entahlah, suka hati mereka itu hal mereka. Di kawasan sekeliling wat itu terdapat patung resi dan aku rasa seram juga melalui kawasan itu. Tapi aku buat bodoh sahajalah sebab aku tak mencabar pun makhluk halus di situ atau bertindak kurang sopan.

Aku kemudian mengambil bas ke Pulau Tikus dan sampai di kawasan kuil Buddha orang Thai dan orang Burma. Kuil-kuil ini berada saling berhadapan. Gambar di atas adalah Wat Chaimangkalaram atau Wat Siam yang dibina untuk memenuhi keperluan rohaniah masyarakat Siam di Georgetown. Kini, ia turut menjadi tumpuan pengunjung dari Thailand, Sri Lanka dan penduduk tempatan. Ketika itu, jam sudah lewat petang. Aku berdegil juga mahu mengunjungi kerana aku tak pernah ke sini sepanjang belajar di Penang.

 

Gambar di atas adalah laluan dari gerbang utama Wat Thammikara atau Wat Burma bagi memenuhi keperluan masyarakat Burma yang beragama Buddha di Penang. Terdapat dewan makan, kolam, mural di dinding mengisahkan kisah jataka, patung Buddha emas dan patung Buddha yang mewakili negara-negara yang mempunyai penganut agama Buddha. Aku leka melihat di sekeliling sehingga aku terkunci di dalam kawasan Wat Burma ini. Aku cuba menyamar dan bercakap dalam bahasa Thai meminta supaya seorang pakcik Cina yang menjadi kontraktor yang menjalankan pengubahsuaian dalam wat itu membantu aku keluar. Ternyata dia perasan juga muka aku adalah muka Muslim, cisss! Asalkan tak menjadi isu kerana Muslim tempatan jarang masuk ke tempat-tempat begini. Jadi, aku rasa biarlah dia tahu pun.

Sebenarnya aku ada juga merancang untuk melawat Kuil Kek Lok Si namun aku mengubah fikiran. Aku perlu pulang ke rumah dahulu mungkin ibu dan bapaku rindu kepada aku. Aku perasan juga ibuku kerap menghantar mesej bertanya lokasi aku berada dan apakah yang aku sedang buat? Seperti biasalah beliau akan bertanya sudah solatkah? Mungkin dia kesunyian. Cuti Tahun Baru Cina bermula pada 3 Februari 2010 jadi aku rasa aku masih ada sedikit masa untuk dihabiskan di rumah.