31 Mac 2011 - Mempertahan Proposal Thesis

Aku sedang melalui minggu-minggu yang melelahkan sejak minggu yang lalu sehinggalah ke dua minggu yang akan datang. Aku ponteng kelas bahasa Jerman juga. Mesti Pn. Myer bising namun aku tiada pilihan. Lagipun, kelasnya itu tidak termasuk dalam CGPA yang wajib aku ambil pun. Ia hanya syarat untuk aku berijazah sahaja. Kelasnya pun membosankan dan susah. Mungkin pada semester hadapan aku akan belajar bahasa Spenayol kerana aku pernah mengambil satu tahap semasa aku berada di ijazah sarjana muda sebagai subjek opsyen. Aku hanya perlu menggilapnya semula berbanding dengan terpaksa memulakan semuanya dari awal seperti kelas bahasa Jerman.

Semasa perancangan aku dahulu aku telah tersilap menduga kerana aku ingatkan kelas bahasa Jerman itu hanya dipenuhi dengan pelajar dari peringkat sarjana muda. Guru kelas itu Waltraud Myer pula adalah seorang wanita Jerman yang berkahwin dengan lelaki Penang. Orang Jerman ini tahu sahajalah mereka jenis yang 'strict' dan kurang humor seperti orang dari rantau lain. Aku sudah ponteng kelasnya sebanyak tujuh kali. Tidak seperti pelajar sarjana muda yang mempunyai banyak masa, aku mendapati bahawa peringkat pascasiswazah ini dipenuhi dengan ketidaktentuan sehingga menyebabkan aku rungsing. Aku berbincang dengan Myer dan memberitahunya bahawa aku tidak akan menyambung kelasnya. Bukan kerana aku tidak berminat namun aku terpaksa kerana aku adalah pelajar mod campuran yang masih lagi mempunyai beberapa kelas yang belum diselesaikan.

Sementara itu, aku mempunyai dua lagi tugasan yang perlu diselesaikan. Tugasan dari Dasar Luar Kesatuan Eropah dan Dasar Awam. Aku perlu menghantarnya sebelum 13 April 2011 dan bermula 20 April 2011 aku akan menduduki peperiksaan bagi subjek yang tersebut. Hal ini memberikan tekanan kepada aku dan juga rakan-rakan sekelas.

Semalam aku tidak menyertai rakan-rakan ahli Tabligh ke Masjid Bengali kerana aku perlu menilai semula proposal thesis aku beberapa kali. Pagi ini aku perlu menghantarnya kepada pensyarah. Selepas budak-budak Tabligh itu kembali ke hostel, aku menegur Karkun Firdaus menerusi aplikasi Yahoo Messenger di laptop. Beliau memaklumkan bahawa ahli Tabligh dari Jerman melawat pusat mereka bersama dengan jemaah yang cacat penglihatan. Aku bersembang juga dengan dia mengenai kehidupan namun aku rasa dia mungkin tak faham sangat. Aku menceritakan kepadanya mengenai pengalaman aku bertembung dengan ahli Tabligh di perumahan aku dan bapa saudara aku yang cuba untuk mengambil aku memasuki madrasah Tabligh di Pakistan bersama anak lelakinya. Bapa aku kurang gemar dengan Tabligh namun aku tidaklah sampai ke tahap anti seperti bapa aku. Mungkin beliau pernah mengalami pengalaman buruk dengan ahli Tabligh. Setiap orang mempunyai persepsinya sendiri yang diperolehi dari pengalaman dan pandangan dunianya. Jadi, pada pandangan aku setiap orang berhak mempunyai pendapat mereka sendiri.

Walaupun aku juga kurang cenderung kepada Jemaah Tabligh namun aku rasa dasar pergerakan mereka itu boleh jadi benar dan tidak salah pun. Ia agak terkenal dalam kalangan umat Islam dan aku tidak mempunyai masalah dengan kegiatan Tabligh mereka. Dalam perbualan aku dengan Karkun Firdaus itu, aku menekankan bahawa ajaran Islam itu asasnya terletak pada iman dan amal namun ilmu juga adalah satu keperluan bagi kita mencapai iman dan menjalankan amalan kita. Kita haruslah berusaha mencari ilmu tanpa mengira dari mana pun ia terbit dan tidak mengira label pergerakan. Sekiranya kira merasakan bahawa ilmu itu bermanfaat maka kita akan menerimanya dengan tangan terbuka serta mengamalkannya.