31 Mac 2011 - Pembawa al-Quran

Aku telah terbaca rencana dari satu blog yang dikenali sebagai Message of Peace hasil tulisan S.M Masum (2006). Judul rencana tersebut adalah The Quality of the Bearer of Quran yang bermaksud Ciri-Ciri Pemegang al-Quran.

A. Musa bin Ja'afar al-Kazem

Dalam rencana itu, beliau menyebutkan bahawa seorang Muslim itu haruslah mempunyai ciri pembawa al-Quran. Hal ini membawa maksud bahawa seorang Muslim itu haruslah berusaha untuk menjadikan al-Quran sebagai fikirannya, al-Quran sebagai percakapannya dan al-Quran sebagai tindakannya. Nabi Muhammad s.a.w seperti yang diriwayatkan dalam Mizan al-Hikah bersabda, "hal yang membezakan umatku dengan yang lain adalah mereka itu membawa al-Quran dan menghidupkan malam mereka itu dengan mengingati-Nya sambil bersolat."

Sebagai contoh, umat nabi Muhammad s.a.w yang memenuhi ciri di atas itu adalah seperti Musa bin Ja'afar al-Kazem. Beliau menghafal kitab suci al-Quran, membacanya dengan bacaan yang terbaik, bertindak mengikut firman-Nya di dalam al-Quran dan mempunyai ilmu al-Quran.

B. Soal Jawab dengan al-Mahdi

Selain itu, turut disebutkan mengenai al-Mahdi dari bani Abbasiah yang mengemukakan persoalan kepada Musa sebagai salah seorang yang berilmu dalam tafsiran al-Quran.

Al-Mahdi: Adakah meminum arak itu diharamkan di dalam al-Quran? Aku bertanyakan hal ini kerana orang ramai mengetahui bahawa mereka telah berhenti daripada meminumnya, namun mereka tidak mengetahui mengenai pengharamannya.

Musa: Sudah semestinya arak itu diharamkan di dalam al-Quran.

Al-Mahdi: Di mana dalam al-Quran itu yang jelas menunjukkan pengharaman arak?

Musa: "Katakanlah, Tuhanku melarang aku dari perbuatan keji sama ada yang nyata atau terlindung dari pandangan sesiapa pun dan melarang perbuatan maksiat yang mencabuli hak manusia tanpa sebab yang munasabah. Diharamkan menyekutukan Tuhan dengan sesiapa pun tanpa hak dan dilarang berbicara mengenai Tuhan apabila kamu tidak mempunyai pengetahuan pun tentang-Nya." (Surah al-A'araf: 33).

Musa selanjutnya menjelaskan bahawa perbuatan maksiat itu merujuk kepada perzinaan. Semasa zaman jahiliah, mereka yang keji itu selalu memacakkan bendera di luar tempat persundalan. Perbuatan keji yang terlindung dari pandangan mata itu merujuk kepada pernikahan dengan ibu tiri sendiri. Pada zaman jahiliah, seorang wanita yang kehilangan suami akan dinikahi oleh anak tirinya. Manakala perbuatan berdosa itu merujuk kepada minum minuman yang memabukkan.

Dalam penjelasan itu, Musa merujuk perbuatan meminum arak sebagai berdosa dan mengaitkan hal ini dengan ayat ke-219 dalam Surah al-Baqarah.

"Mereka bertanyakan kepadamu mengenai minum arak dan berjudi. Katakanlah: Kedua-duanya itu adalah dosa yang besar. Walaupun bermanfaat kepada manusia namun dosanya itu melebihi manfaatnya. Lalu mereka bertanya kepadamu mengenai perkara yang mereka belanjakan, katakanlah melebihi daripada yang diperlukan maka sesungguhnya demikianlah Tuhan berfirman menjelaskan ayat-Nya supaya kamu berfikir."

Tatkala mendengar penjelasan Musa itu, maka al-Mahdi pun berkata, inilah pemerintahan bani Hashim. Riwayat ini tercatit dalam kitab al-Kafi yang dihimpunkan oleh Muhammad bin Ya'akub al-Kulaini.

Syeikh Mufid meriwayatkan bahawa Musa sentiasa merujuk kepada al-Quran sehinggakan beliau menjadi salah seorang yang berilmu mengenai al-Quran semasa hayatnya. Beliau mendukung dan mengajarnya kepada sesiapa sahaja yang meminta pengajaran. Selain itu, beliau juga membaca al-Quran sehinggakan pendengarnya berasa tersentuh hati menginsafi diri mereka. - al-Irsyad

C. Kesimpulan

Rencana ini mengetengahkan mengenai ciri-ciri umat nabi Muhammad s.a.w yang dicerminkan oleh perkara yang berikut iaitu:

  • Menghafal kitab suci al-Quran serta melindungi isi kandungan al-Quran melebihi sesiapa pun pada hayatnya;
  • Membaca kitab suci al-Quran dengan baik dan suara yang merdu;
  • Membaca kitab suci al-Quran dengan nada yang sedih apabila ayatnya mengisahkan perkara yang sedih dan hal ini merupakan tatacara dalam pembacaan kitab suci al-Quran; dan
  • Membaca kitab suci al-Quran sebagai cara berkomunikasi dengan pendengarnya seolah-olah ayat tersebut berbicara dengan pendengar.   
Jadi, ini adalah isi kandungan rencana yang telah aku baca dari rencana yang ditampilkan dalam blog tersebut. Aku harap rencana ini akan dapat membantu aku di masa hadapan. Terima kasih.