1 November 2010 - Kepentingan Tajwid

 

Salam!

Aku telah mengikuti ibu aku ke kelas al-Quran beliau di masjid Putrajaya dua malam yang lepas. Aku cuba mempositifkan minda dan memandang perkara tersebut sebagai sesuatu yang menarik walaupun aku cuba untuk mengelakkan diri daripada mengikuti ibu ke situ. Sebenarnya, aku segan hendak masuk ke kelas tersebut kerana maklumlah banyak makcik-makcik di dalam itu. Namun, guru yang mengajar itu agak mesra dan membantu. Kelas pertama yang aku hadiri dalam cuti minggu ini adalah kelas taranum al-Quran sahaja namun aku berminat untuk membaca al-Quran secara berlagu kerana aku tidak biasa.

Pada malam kedua, aku mengikuti lagi ibu aku ke masjid lalu masuk ke kelas Tajwid tersebut. Pelajar diminta membaca Sural ali-Imran dari ayat pertama sehingga ayat ke-22. Aku dapat mengesan bahawa aku melakukan kesilapan dalam bacaan terutamanya pada bahagian wajib al-ghunnah. Di bahagian itu, kita seharusnya mendengungkan bacaan. Aku berasa ketika itu bahawa aku mungkin banyak sekali membuat kesilapan bacaan sehingga tidak sedar aku mengumpul dosa akibat kejahilan. "Teruk sekali," getus hatiku.

 

Aku masih ingat lagi semasa aku masih kecil, aku dipaksa untuk masuk ke sekolah agama sebelah petang. Ketika itu, aku masih belum menyedari mengenai kepentingan tajwid. Aku selalu gagal dalam ujian tajwid sebab aku susah sekali hendak mengingati nama-nama hukum tajwid bagi pembacaan al-Quran. Aku pelik kenapa aku harus mengetahui itu semua sedangkan kitab al-Quran untuk pelajaran bagi manusia menegakkan jalan hidup? Buat masa ini aku cuba untuk menghafal al-Quran. Aku telah mengikut ibu aku ke kota suci Mekah sekitar tahun 2006 kerana beliau tiada muhrim dan bapa aku ketika itu sangat sibuk dengan pekerjaan beliau. Beliau cuba untuk menyelamatkan keluarga dan memberi anak beranak kami makan secara bertanggungjawab.

Jadi, aku menemui al-Quran yang ada hukum tajwid dan membelinya. Gambar di atas itu adalah al-Quran yang aku beli di kota suci Mekah. Ketika itu, baru aku sedar bahawa pembacaan menggunakan tajwid penting bagi memastikan bacannya dalam bahasa Arab itu betul namun aku berpendapat kita tidak boleh terlalu taksub dengan sesuatu mata pelajaran ranting. Kita haruslah mengutamakan perkara yang harus diutamakan dahulu.

Insyaallah, jika diizinkan Tuhan maka aku dapatlah belajar semula dari permulaan. Lebih baik aku menganggap diri aku sebagai jahil supaya aku dapat menerima ilmu tanpa rasa bongkak dan takbur.