4 November 2010 - Banjir di Utara

 

Aku mendengar bahawa banjir telah melanda negeri-negeri utara Malaysia terutamanya negeri Kedah dan negeri Perlis. Banjir juga melanda rantau selatan Thailand yang berjiran dengan negeri-negeri ini. Dianggarkan mangsa banjir yang meninggal dunia di Kedah adalah seramai empat orang manakala di Thailand pula sekitar 100 orang atau mungkin lebih.

Hujan lebat tak berhenti-henti lebih dari tiga hari mungkin menyebabkan pihak Thailand membuka tembok empangan mereka di selatan Thailand bagi mengurangkan kesan banjir di sana. Ia membuatkan negeri-negeri yang berada di selatan Thailand dibanjiri air bah sehingga masuk ke utara Malaysia. Banjir selalunya melanda sekitar bulan Disember sebelum ini. Jarang sekali banjir berlaku pada bulan November.

Seingat aku, banjir terburuk sekali berlaku sekitar 10 tahun yang lalu semasa kami merayakan hari raya aidilfitri di kampung tuk dan wan sebelah ibu aku di Ulu Pauh, Arau, Perlis. Ular dan najis melampung di sekeliling rumah. Banjir ini yang paling buruk sekali pernah aku alami semasa berada di kampung. Amir, rakan sekelas aku semasa ijazah pertama turut memberikan maklumat melalui sistem SMS berkenaan banjir di daerah Kubang Pasu petang ini kerana rumah beliau berada di pekan Jitra. Beliau memberitahu bahawa stok makanan hampir habis dan mereka tidak dapat keluar membeli barang makanan simpanan. Jalan keluar juga ditutup akibat banjir. Aku berasa risau juga bimbang penduduk di sana terutamanya Kubang Pasu kebuluran atau dijangkiti penyakit akibat banjir. Pasti ekonomi negeri jatuh teruk sedangkan ekonomi negara pun lembap.

 

Aku mengikuti maklumat lanjut banjir lagi di blog Kedah Lanie. Mereka maklumkan beberapa sekolah pondok juga ditenggelami air. Yang terburuk sekali adalah di Maahad Tarbiah Islamiah Derang, Pokok Sena di Alor Setar. Rajin pula aku mengambil berat mengenai pelajar sekolah pondok itu. Mungkin kerana aku pernah juga belajar dalam sistem seperti itu sebentar.