Rasanya Tahun Baru menurut takwim Qamariah telah bermula sejak 7 Disember 2010 ini. Aku telah pun menghantar mesej kepada orang yang aku kenali sebagai peringatan sahaja kepada diri sendiri dan mereka. Tandanya juga aku sayang akan mereka.
Namun, aku belum lagi memuatkan mesej pesanan di halaman ini. Jadi, aku berharap bahawa aku masih belum terlambat mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada rakan-rakan yang mengikuti halaman ini. Tahun Baru sering menjadi penanda bahawa kita ini berhijrah dari keburukan ke arah kebaikan. Dari yang baik kepada yang lebih baik. Dari kegelapan ke arah cahaya.
Aku telah pun mendapat satu mesej yang aku kira agak baik juga dari seorang rakan dan saudara. Ia hanyalah satu peringatan namun aku ingin ia menjadi sebahagian daripada kenangan aku. Ibnu Mas'ud berkata bahawasanya, "perkara yang menyedihkan sekali bagiku adalah setiap kali tahun baru tiba, umurku meningkat tua namun amal kebajikan aku tidak bertambah pun."
Sempena Tahun Baru ini aku tidaklah mempunyai sebarang harapan baru pun. Aku tetap sama sahaja berharap agar umat manusia bersatu dalam menghadapi cabaran dunia pada masa akan datang tanpa mengira pangkat, kedudukan, warna kulit, latar belakang, mazhab atau pergerakan mana pun. Selagi kita berpegang kepada kesaksian bahawasanya kita ini adalah hamba Tuhan dan nabi Muhammad s.a.w itu pesuruh dan nabi-Nya maka kita ini adalah satu umat belaka.
Bersempena dengan Tahun Baru ini, aku memanjatkan doa supaya Tuhan mengurniakan kebajikan dan cinta kasih-Nya iaitu menerusi syariat-Nya. Semoga belas kasihan Tuhan itu bersama kita dalam kehidupan seharian kita. Semoga kita dipenuhi dengan keberkatan dan menerima rezeki. Aku berdoa juga supaya semester baru pengajianku ini berjalan lancar tanpa sebarang halangan, amin!
