Baca Lanjut Pernyataan Masalah

Masalah yang melibatkan kepada kurangnya keberkesanan dasar hak minoriti di Eropah ini kelihatan lebih ketara lagi selepas berlakunya perubahan besar politik di Eropah pada sekitar tahun 1989 dengan berlakunya pertelingkahan antara etnik di negara bekas Yugoslavia dan penyambungan proses kenaikan negara bekas blok Komunis di Eropah Timur ke dalam EU.

EU telah mengenakan syarat supaya negara-negara di Eropah Timur tersebut menerima dasar perlindungan hak minoriti sebelum mereka diterima sebagai negara anggota kerana negara-negara ini tidak stabil dari segi sosial disebabkan kepelbagaian etnik walaupun kesemua etnik tersebut memang berasal dari rantau Eropah sendiri. Langkah terbaru yang bersifat politik ini diambil bagi menghalang diskriminasi dan pengecualian etnik minoriti dalam pelbagai bidang di negara anggota. Walau bagaimanapun, formulasi dasar hak minoriti Eropah masih lagi kabur dan pada kebanyakan masanya tidak mengikat negara anggota secara perundangan. Selain daripada itu, negara anggota Eropah turut memiliki dasar hak minoriti mereka sendiri dan tidak selalunya dapat bersetuju dengan standard yang lebih umum apabila menyentuh bidang dasar.

Dalam pengajian yang khusus ini, penyelidik akan memberikan perhatian yang lebih kepada hak minoriti dalam integrasi sosial atau penyertaan mereka dalam pelbagai bidang sedangkan komuniti Muslim pula adalah kajian kes yang mewakili salah satu kelompok minoriti di Eropah. Komuniti Muslim di Eropah pada hakikatnya juga datang dari pelbagai bangsa, status kewarganegaraan, latar belakang kebudayaan, mazhab, pergerakan, elemen linguistik dan tahap pendidikan. Di samping itu, mereka dihubungkan oleh agama yang sama iaitu Islam yang kadang kala dijalinkan ke dalam kebudayaan atau cara hidup mereka. Selain daripada itu, komuniti Islam menduduki tempat yang penting dalam perbincangan masyarakat Eropah secara keseluruhannya.

Dalam pada itu, rujukan terhadap minoriti seumpama ini turut dibuat berdasarkan kepada bingkai etnik walaupun ia tidak relevan namun ia sedang menuju ke arah apa yang berlaku kepada komuniti Yahudi. Penting juga untuk disedari bahawa terdapat banyak sekali perbezaan dalam kalangan kelompok komuniti Muslim di Eropah. Hal ini turut terpapar pada peringkat masjid dan pertubuhan mereka. Selanjutnya, generasi kedua dan ketiga komuniti Muslim di Eropah tidak lagi melahirkan komuniti Muslim yang transnasional atau merentasi sempadan.

Oleh kerana kepelbagaian komuniti Muslim di Eropah, perbincangan mengenai Islam Eropah atau ajaran Islam yang bercorak Eropah boleh juga merujuk kepada elemen yang pelbagai. Sebelum itu, terdapat juga pandangan yang umum dalam konteks Eropah berkenaan dengan kehadiran komuniti Muslim di situ. Pada permulaan EU yang ketika itu dikenali sebagai European Coal and Steel Community (ECSC) sekitar tahun 1945 sehingga tahun 1957, kehadiran komuniti Muslim di Eropah sebagai buruh dan askar di dalam negara anggota Eropah yang mempunyai tanah jajahan di luar dianggap sebagai satu kebetulan yang tidak dijangkakan. Kemudian, kehadiran komuniti Muslim dilihat dalam pandangan zaman pasca penjajahan di mana mereka hanya dianggap sebagai satu bingkai kebudayaan yang umum sahaja yang telah pun dibuktikan tidak benar. Perspektif Eropah terhadap kehadiran komuniti Muslim berubah saban tahun di mana dimensi agama pun turut diambil kira.

Kehadiran komuniti Muslim menjadi lebih ketara di benua Eropah dan fenomena ini diikuti oleh corak yang hampir serupa di EU dan negara anggotanya. Beberapa permasalahan yang biasa dikaitkan dengan kehadiran komuniti Muslim di Eropah turut dibincangkan dan ditentang oleh sarjana Muslim sendiri contohnya seperti Tariq Modood dan Tariq Ramadan. Permasalahan ini menurut mereka beranjak sedikit demi sedikit dari isu sosial yang rumit dan kebudayaan kepada isu politik dan falsafah.

Dalam skala Eropah, komuniti Muslim di seluruh Eropah berusaha supaya Islam diberikan pengiktirafan yang sah dan status yang setara dengan status agama lain di Eropah. Namun, dalam kebanyakan masa, mereka turut berhadapan dengan sikap yang tidak mesra dari masyarakat umum di Eropah. Penyebab kepada ketidakselesaan ini terungkap disebabkan oleh radikalisasi beberapa bahagian dalam komuniti Muslim di Eropah terutamanya apabila menyentuh isu undang-undang syariah.

Berbeza pula dengan andaian ramai orang mengenai komuniti Muslim atau oleh individu Muslim itu sendiri terhadap komuniti Muslim, tidak semua Muslim itu mengamalkan nilai Islam dengan cara yang sama antara satu sama lain dan tidak semua Muslim itu mempunyai pengalaman subjektif yang sama di peringkat keimanan mereka. Hanya satu pertiga daripada 15 juta Muslim di Eropah mengakui diri mereka sebagai Muslim selain mengamalkan ajaran asas agama Islam. Dalam keadaan semasa, penyelidik tidak boleh membuat andaian sama ada kelompok orang ini akan berkembang atau tidak akan berkembang di benua Eropah. Sudah semestinya, keinginan popular mengenai Islam dalam kalangan Muslim yang beramal itu masih lagi kuat dan semakin menebal sejak 10 tahun yang lalu namun sama ada ia akan berterusan pada masa hadapan masih menjadi satu tanda tanya.

Perkara penting lain yang wajar diberikan perhatian adalah mengenai kewujudan Muslim di Eropah ini merupakan satu proses yang tidak seimbang dan boleh berubah-ubah. Ia adalah satu proses yang berterusan serta berada dalam hakikat sosial. Artikulasi antarabangsa bahawa Islam Eropah itu tidak lengkap, kekurangan pemimpin dan kepimpinan tempatan masih lagi berada dalam proses pembentukan, populasinya masih lagi dalam proses mengambil pemilikan penuh hak mereka dalam masyarakat awam di Eropah di mana kebanyakan hak mereka itu masih lagi lemah kerana kesukaran dan kemasukan mereka yang tidak menentu dalam pasaran buruh di Eropah. 

Oleh itu, penyelidik akan menyelidiki pelbagai dimensi kewujudan Muslim di Eropah dan memfokuskan mengenai integrasi Islam pada saat ini dalam situasi kebangsaan di Eropah selanjutnya, menggariskan hak beragama minoriti menerusi isu serta perbincangan perundangan.