Beriman dengan Para Rasul

Dalam rencana, "Rukun Keempat: Beriman dengan Rasul" dalam laman sesawang "Asas-Asas Islam" disebutkan bahawa beriman dengan para rasul menjadi salah satu daripada Rukun Iman dan tidak sempurna keimanan seseorang sekiranya dia tidak beriman dengan para rasul.

Beriman dengan para rasul ini bermaksud kita beriktikad dengan yakin bahawa Allah S.W.T mengutuskan para rasul bagi menyampaikan risalah-Nya. Barangsiapa yang mengikuti rasul maka dia telah mendapat petunjuk dan barangsiapa yang menderhaka kepada para rasul sesungguhnya dia terpesong daripada jalan kebenaran. Para rasul menyampaikan ajaran yang diturunkan oleh Allah dengan keterangan yang nyata, mereka menunaikan amanah dan menasihat umat, berjihad pada jalan Allah dengan sebenar-benar jihad, mendirikan hujah dan tidak sesekali menukar, mengubah atau menyembunyikan sesuatu yang disampaikan kepada mereka. Umat Islam beriman dengan rasul yang telah disebutkan nama mereka oleh Allah dan juga rasul yang tidak disebut nama mereka.

Setiap rasul menyampaikan khabar gembira dengan kedatangan rasul selepasnya dan yang terakhir pula akan membenarkan rasul-rasul sebelumnya.

Firman Allah Ta'ala, "Katakanlah bahawa kami beriman kepada Allah dan kepada kitab yang diturunkan kepada kami dan kepada kitab yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim, Nabi Ismail, Nabi Ishak, Nabi Ya'akub serta anak-anaknya dan juga kepada kitab yang diberikan kepada Nabi Musa dan Nabi Isa dan kepada kitab yang diberikan kepada para nabi daripada Tuhan mereka, kami tidak membezakan seseorang pun di antara mereka dan kami tunduk dan patuh kepada Allah semata-mata" (Surah al-Baqarah: 136).

Barangsiapa yang mendustakan rasul, sesungguhnya dia telah mendustakan Tuhan yang membenarkannya dan barangsiapa yang menderhaka kepada rasul sesungguhnya dia telah menderhaka kepada Tuhan yang memerintahkan supaya rasul ditaati.