Dalil bagi keimanan kepada kewujudan para malaikat itu adalah naqli. Alasan berkenaan kewujudan para malaikat ini tidak dapat dijangkau oleh pancaindera manusia. Zat malaikat tidak boleh dicapai oleh sesuatu pun serta tidak dapat dibuktikan oleh pancaindera manusia.
Malaikat adalah bentuk jamak bagi kata bahasa Arab malak yang bermaksud kekuatan. Malaikat ini adalah kekuatan-kekuatan yang patuh kepada ketentuan dan perintah dari Allah. Dalam Islam, malaikat dianggap sebagai hamba dan makhluk Allah. Mereka tercipta dari cahaya yang mulia dan suci dari segala kekotoran maksiat. Malaikat tidak mempunyai jantina, tidak berkahwin, tidak beribu bapa dan tidak melahirkan anak-anak. Mereka tidak makan dan tidak tidur seperti makhluk lain.
Malaikat mampu menjelma dalam rupa yang diambil olehnya dengan izin dari Allah. Sebagai contoh, malaikat pernah menziarahi nabi Lut a.s dalam rupa lelaki kacak untuk memberikan amaran kepada keluarga nabi tersebut. Malaikat juga dikatakan bersayap dan mampu terbang dengan kelajuan cahaya. Seorang Muslim itu wajib beriman dengan kewujudan malaikat secara tafsil dan secara ijmal.
Sejarah Malaikat dalam Alam Semesta
Malaikat sebenarnya telah lama wujud dalam alam semesta. Mereka diciptakan sebelum Adam, manusia pertama. Selain itu, mereka dipertanggungjawabkan oleh Allah supaya mengambil tanah di bumi untuk menjadi acuan penciptaan Adam. Malaikat pertama yang diutuskan Allah untuk mendapatkan tanah tersebut adalah Jibril a.s. Kemudian Mikail a.s. pula ditugaskan. Kedua-duanya gagal menjalankan perintah Allah lalu mereka pulang ke hadrat Allah kerana tanah bumi menangis memohon supaya tidak diambil dan dijadikan bahan mencipta manusia. Mereka meminta supaya bahan lain yang diambil untuk mencipta manusia. Allah kemudian memerintahkan Izrail a.s. yang bengis. Malaikat itu merentap tanah dan tidak menghiraukan tangisan mereka lalu membawanya ke hadrat Allah. Selepas itu, Allah melantik Izrail a.s. sebagai pencabut nyawa manusia. Izrail a.s. menolak tugasan ini kerana manusia akan mengeji dan membencinya namun Allah memberi jaminan bahawa maut akan diciptakan sebagai penyebab kepada keluarnya nyawa manusia. Oleh itu, beliau tidak akan dipersalahkan oleh sesiapa.
Sebelum Iblis dilaknat dan direjam oleh Allah ke bumi, beliau merupakan ketua yang memimpin para malaikat di syurga. Terdapat juga malaikat seperti Harut dan Marut yang didakwa menjadi sesat akibat sihir namun mereka diberikan keampunan oleh Allah.
Asal Kejadian Malaikat
Asal-usul kejadian malaikat ini diriwayatkan di dalam hadis seperti hadis riwayat Muslim yang menerimanya dari Aisyah r.a. Menurut Aisyah r.a. nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda bahawasanya, " Malaikat itu diciptakan dari cahaya, jin diciptakan dari lidah api manakala manusia itu diciptakan seperti yang disifatkan kepada saudara-saudara sekelian."
Walau bagaimanpun, jenis, sifat dan hakikat bagi malaikat itu tidak dijelaskan secara lanjut dalam sebarang sumber yang lain.
Malaikat pula dijadikan dalam keadaan bersayap, sama ada dua, tiga atau lebih sayap. Kejadian tersebut dilengkapi dengan rupa yang indah. Namun, setiap malaikat itu mempunyai kejadian dan kedudukan yang berbeza-beza pula. Keistimewaan, tugas dan kedudukan mereka bergantung kepada kehendak Allah. Kejadian malaikat yang berbeza dengan makhluk lain adalah mereka tidak berhawa nafsu. Mereka tidak makan, tidak minum dan hanya mengabdikan diri mereka kepada Allah. Mereka juga tidak mempunyai jantina serta tidak beranak-pinak seperti manusia atau jin.
Keimanan kepada Malaikat
Beriman dengan tafsil bermaksud beriman dengan setiap satu daripada malaikat ini secara berasingan dan bukan beriman dengan itu sebagai satu, contohnya satu kumpulan dan beriman yang setiap satu daripada mereka itu adalah malaikat. Berikut adalah sepuluh malaikat yang wajib diketahui oleh seorang Muslim secara tafsil:
- Jibril
- Mikail
- Israfil
- Izrail
- Munkar dan Nakir
- Ridhwan
- Malik
- Raqib dan Atid
- Zabaniah
- Hamalat al-'Arash
- Rahmat
- Kiraman Katibin
- Harut dan Marut