Dalil Aqli

Dalil aqli bermaksud dalil yang bersumber dari akal. Ia boleh diterima selagi ia tidak melanggar pernyataan dalam al-Quran dan hadis-hadis. Allah hanya menyampaikan kalam-Nya kepada orang yang berakal kerana hanya mereka yang dapat memahami agama dan syariat-Nya.

Firman Allah bermaksud, "Dan merupakan peringatan bagi orang-orang yang berakal." - Surah Saad ayat 43

Taklif Beban Hukum

Akal merupakan syarat yang harus ada dalam diri manusia untuk menerima taklif, bebanan kewajiban dari Allah. Hukum-hukum syariat tidak berlaku bagi mereka yang tidak menerima taklif. Dalam kalangan mereka yang tidak menerima taklif itu adalah orang yang gila akibat kehilangan akalnya.

Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud, "Pena catitan pahala dan dosa diangkat dari tiga golongan iaitu orang yang tidur sehingga sedarnya dari tidur, kanak-kanak kecil sehingga bermimpi baligh dan orang gila sehingga ia kembali waras." - Sunan Abu Dawud bil. 4403

Pembatasan Bidang Kerja Akal

Pembatasan bidang kerja akal dan fikiran manusia adalah seperti yang disebut dalam firman Allah bermaksud, "Mereka bertanya kepadamu mengenai roh. Maka, katakanklah bahawasanya, "roh itu adalah urusan Rabb-ku. Dan tiadalah kamu diberikan ilmu mengenainya melainkan sedikit sahaja." - Surah al-Isra' ayat 85

Firmak Allah selanjutnya lagi, "Dia mengetahui segala yang berada di hadapan mereka dan segala yang berada di belakang mereka, sedangkan ilmu mereka tidak dapat meliputi ilmu-Nya." - Surah Taha ayat 110

Pandangan Ulama Salaf

Ulama salaf berpendapat bahawa wahyu haruslah didahulukan sebelum akal. Naql adalah dalil syar'i yang tertuang dalam al-Quran dan Sunnah Nabawi. Secara ringkasnya, pandangan mereka tentang penggunaan akal adalah seperti berikut:

  • Syariat itu maksum maka ia didahulukan berbanding dengan akal yang tidak maksum.
  • Akal berkemampuan mengenal dan memahami perkara yang bersifat global namun ia tidak bersifat terperinci.
  • Perkara yang benar dari hukum akal pastilah tidak bertentangan dengan syariat.
  • Perkara yang salah dari hukum akal pastilah bertentangan dengan syariat.
  • Penentuan hukum tafsiliah seperti wajib, haram dan sebagainya adalah hak syariat.
  • Akal tidak dapat menentukan hukum tertentu atas sesuatu sebelum turunnya wahyu walaupun secara umum ia dapat mengenal dan memahami baik serta buruk sesuatu perkara.
  • Balasan bagi dosa dan pahala itu ditentukan oleh syariat.
Oleh itu, Yazid bin Abdul Qadir Jawas dalam Kitab Syarah Akidah Ahli Sunnah wal Jama'ah (2004) berpendapat bahawa keyakinan ini adalah keyakinan Ahli Sunnah wal Jama'ah. Ia adalah benar dalam permasalahan penggunaan akal sebagai dalil. Oleh itu, akal boleh dijadikan dalil jika ia bersesuaian dengan al-Quran dan Sunnah Nabawi serta tidak bertentangan dengan kedua-duanya. Sekiranya ia bertentangan dengan kedua-duanya maka ia akan dianggap sebagai bertentangan dengan sumber dan dasar keyakinan itu sendiri. Pertentangan yang meruntuhkan dasar ini bermaksud binaan di atasnya iaitu keyakinan akan runtuh. Oleh itu, akal tidak lagi menjadi hujah atau alasan lagi. Ia berubah menjadi dalil yang batil.