Edaran Risalah Islam Percuma Berbahasa Cina

 

Aku menemui beberapa edaran risalah dan buku kecil di Masjid Putrajaya pada Selasa yang lepas. Aku pun mendapatkannya. Terdapat dua buku kecil berbahasa Inggeris dan dua lagi berbahasa Cina yang membicarakan secara ringkas mengenai agama Islam. Sebenarnya aku sudah pun mendapatkan banyak risalah ini semasa melawat masjid di Wilayah Persekutuan. Bahan-bahan ini diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam di Malaysia. Buku yang berbahasa Cina dan berwarna biru itu berjudul, "Nabi Muhammad, pemimpin umat manusia."

Buat masa ini aku tidak begitu memberikan perhatian kepada bahan-bahan rujukan berbahasa Inggeris kerana aku merasakan bahawa aku boleh mendapatkannya tanpa masalah. Begitu juga halnya dengan bahan berbahasa Melayu kerana negara ini adalah sebuah negara yang majoriti negerinya berbahasa Melayu.

Aku berminat untuk mendapatkan bahan berbahasa Cina atau mungkin juga bahan berbahasa Tamil. Walau bagaimanapun, masyarakat Tamil Muslim di Malaysia mungkin sudah mempunyai asas yang kuat mengenai pengetahuan agama Islam. Kebanyakan warganegara Muslim berbangsa Tamil juga boleh bertutur dalam bahasa Melayu. Mereka membina masjid dan jemaah sebaik sahaja mereka tiba di Malaya jadi pemgajaran agama Islam boleh jadi disampaikan kepada komuniti mereka dalam bahasa Tamil seperti yang dicerminkan di Masjid India di Kuala Lumpur. Selain itu, aku juga pernah melihat seorang pelajar Tamil Muslim menunjukkan kepada aku buku nota Fekahnya yang ditulis dalam bahasa Tamil semasa aku menghadiri kelas tusyen PMR suatu ketika dulu. Tuisyen ini menjadi kepercayaan kepada ibu bapa bahawa ia adalah keperluan untuk kanak-kanak ketika lulus peperiksaan.

Jadi, isunya berkenaan dengan pengajaran agama Islam dalam komuniti berbahasa Cina di Malaysia agak kurang diketahui umum. Masyarakat Cina Muslim pada masa ini seolah-olah tidak wujud. Kalau wujud pun mungkin mereka bertutur bahasa Melayu sebab mereka sudah menjadi minoriti di Semenanjung Tanah Melayu. 

Berdasarkan pemerhatian aku dengan komuniti Cina dan Tamil Muslim di Malaysia. Komuniti Tamil Muslim tidak mempunyai masalah sangat dalam kegiatan keagamaan serta pembelajaran. Namun, komuniti berbahasa Cina menghadapi masalah dalam mengakses maklumat berkenaan agama Islam. Dalam pada itu, aku juga membaca blog-blog yang ditulis oleh komuniti Cina Muslim. Mereka berkongsi maklumat berkenaan bahan-bahan bacaan yang mereka baca untuk mendapatkan pengetahuan.

Semasa kami tinggal di Flat Sri Sabah, angah aku pernah beritahu dia mempunyai rakan Cina Muslim bernama Fazli Wong. Bapa aku pernah membawa kami makan di kedai teh Hasan Wong, bapa kepada rakan sekelas angah aku itu. Kedai teh tersebut terletak di Pasar Besar Cheras sebelum jalan ke Masjid Zubir al-Awwam dan kawasan sekolah rendah agama aku dulu. Aku tahu pun sama ada kedai teh itu masih beroperasi atau tidak namun dari maklumat angah aku, rakannya itu bekerja sebagai seorang jurutera Petronas. Parlimen Cheras ketika itu dipegang oleh YB Dato' Seri Tan Chai Ho.

Semasa kecil aku tidak pernah pun peduli mengenai agama orang jadi aku tak tahu sama orang sekeliling aku itu beragama Islam atau sebaliknya. Aku pun bukan seorang yang berkecenderungan ke arah agama sangat. Aku pernah membaca buku mengenai Sejarah Sangha Buddha di Thailand oleh Yoneo Ishii. Bapa aku tidak membenarkan aku membaca benda-benda seperti itu kemudian beliau merampas buku tersebut dan meletakkannya di tempat lain. Jadi, untuk mereka yang menyebut mengenai indoktrinasi agama kepada aku semasa kanak-kanak. Aku ingin maklumkan bahawa hal ini tidak sepenuhnya berlaku kepada aku kerana aku pun berusaha memahami perkara yang di luar kebiasaan keluarga aku. Pada tahun 2003 - 2004 aku mula membuat penilaian semula mengenai keagamaan dan spiritual.

Aku ada terfikir untuk melawat Pertubuhan Cina Muslim Malaysia (MACMA) atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bagi memohon bahan rujukan dalam bahasa Cina. Aku sebenarnya ingin mendapatkan bahan rujukan yang lebih serius lagi berbanding dengan bahan-bahan asas. Hal ini kerana aku sudah membaca bahan-bahan asas yang dibekalkan oleh Kerajaan Arab Saudi semasa haji pada tahun 2004 bersama dengan ibu. Aku menerima bahan dalam bahasa Indonesia sedangkan aku tidak berbahasa Indonesia pun. Aku berbahasa Melayu. Aku juga pernah meminta mereka memberikan bahan berbahasa Inggeris. Mereka juga memaklumkan bahawa mereka tidak menjangkakan ada jemaah dari Malaysia yang meminta bahan dalam bahasa Cina kerana kebanyakan jemaah dari Malaysia menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan dan bahasa yang terdekat dengan bahasa Melayu adalah bahasa Indonesia.

Di samping itu, jika berkesempatan aku akan ceritakan kemudian mengenai pertembungan dengan jemaah haji dari wilayah Gansu dan wilayah Xinjiang (Turkistan), Republik Rakyat China semasa berada di kota suci Mekah. Pada masa itu aku masih lagi boleh berbahasa Cina kerana aku banyak berlatih kerana aku berminat untuk belajar bahasa Cina. Aku berhenti sekejap berlatih bahasa Cina kerana aku segan apabila masuk ke universiti. Ketika bersembang dengan jemaah haji China, jemaah haji dari India berasa hairan kerana mereka melihat gelang besi di tangan aku menunjukkan bahawa aku dari Malaysia tetapi aku bercakap bahasa Cina dengan jemaah dari China. Jadi, ini sedikit sebanyak adalah pengalaman aku semasa di kota suci Mekah apabila melibatkan pertembungan dengan penutur bahasa Cina.