Ilmu dan Kepentingannya

Ilmu adalah salah satu daripada ibadat, sebagai kekuatan hidup, asas kepada pembangunan kemajuan sesuatu tamadun, tonggak kepada segala kemajuan, alat untuk memajukan diri serta masyarakat. Ilmu itu terbahagi kepada dua jenis iaitu ukhrawi dan duniawi. Tergolong pula kepada fardhu 'ain dan fardhu kifayah.

Setiap amal perbuatan berbentuk ibadat dan lain-lainnya tidaklah dianggap sah tanpa berdasarkan kepada ilmu. Oleh itu, nabi Muhammad s.a.w. bersabda bahawasanya, "menuntut ilmu itu kewajiban setiap Muslim". Hal ini menunjukkan tahap kepentingan ilmu dalam ajaran Islam.

Ilmu yang dimaksudkan itu adalah ilmu yang bermanfaat kepada manusia di dunia dan akhirat. Allah Ta'ala memerintahkan supaya kita bertanya kepada mereka yang berilmu dan ahli dalam sesuatu perkara. Firman Allah Ta'ala bermaksud, "... hendaklah kamu bertanya kepada orang yang berilmu, jika kamu tidak mengetahui" - (Surah an-Nahl 16:43).

Orang yang tidak berilmu itu dipandang rendah oleh masyarakat. Seperti firman Allah Ta'ala bermaksud, '... katakanlah olehmu, adakah sama mereka yang berilmu dengan yang tidak berilmu?" - Surah az-Zumar 39:9.

Dalam hal berilmu ini, Allah Ta'ala mengangkat darjat orang yang beriman serta berilmu. Firman-Nya, bermaksud, "... Allah Ta'ala meninggikan darjat mereka yang beriman dalam kalangan kamu beberapa darjat..." - Surah al-Mujadilah 58:11.

Nabi Muhammad s.a.w. menegaskan lagi keutamaan ilmu sehingga dikurniakan ganjaran pula bagi amalan menuntut ilmu. Oleh itu, bolehlah difahami bahawa menuntut ilmu itu diperkira sebagai amalan ibadat juga. Ilmu yang diperkira sebagai ibadat itu adalah ilmu yang disertai oleh niat yang ikhlas semata-mata demi mencari keredhaan-Nya.

Mu'az bin Jabal meriwayatkan bahawa nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda, "Tuntutlah ilmu ikhlas semata-mata kerana Allah Ta'ala dan ketakwaan, mengulangkajinya itu diberikan pahala tasbih, menyelidiki diperkira sebagai jihad, mengajari ilmu bermanfaat kepada mereka yang tidak mengetahui diperkira sebagai amalan sedekah dan membelanjakan wang untuk keluarga yang menuntut ilmu itu adalah amalan yang mendekatkan diri dengan Allah Ta'ala".

Kedudukan mereka yang menuntut ilmu ikhlas demi keredhaan Allah Ta'ala itu diperjelas lebih lanjut dalam hadis, "Sesiapa yang menuntut ilmu itu maka kedudukannya di syurga nanti cuma berbeza sedarjat saja daripada para nabi".

Maka, betulkanlah niat kita sewaktu menuntut ilmu. Hal ini bermaksud, umat Islam itu sentiasa berada dalam ibadat kepada Allah Ta'ala tidak mengira tempat mereka menuntut ilmu. Sama ada di sekolah, di universiti, di masjid, di surau, dan di majlis-majlis zikir yang pelbagai bentuk serta sebagainya.