Aku duduk sebentar mendengar ceramah selepas solat Tarawih. Aku biasanya akan cuba mengelakkan diri aku dalam ceramah yang dicemari dengan politik. Selain itu, aku cuba untuk tidak menyertai mana-mana pergerakan agama yang khusus. Oleh kerana ajaran Islam dipandang olehku sebagai perisai rohaniah peribadiku dan bukan sesuatu yang 'dibanggakan' maka aku cuba untuk berpegang dengan prinsip ini sebaik mungkin. Aku mendapati bahawa ceramah tersebut bersifat rohaniah, maka aku pun terus menyambung iktikaf di dalam surat dan mendengar ceramah ini.
A. Keikhlasan
Ceramah ini membincangkan mengenai asal-usul keikhlasan. Kita mengakui bahawa di tengah orang ramai dengan bibir kita sendiri bahawa kita ikhlas melaksanakan solat dan berpuasa pada bulan Ramadhan. Walau bagaimanapun, adakah kita mengetahui sama ada kita benar-benar ikhlas atau tidak? Masyarakat kini di seluruh dunia melaksanakan sesuatu perkara itu dengan hanya di bibir sahaja. Kita melaksanakan amal ibadat itu kerana kita hanya mengikut tradisi dari orang tua kita. Kita gagal menyedari maksud rohaniah di sebalik amalan dan ibadat kita.
Keikhlasan itu timbul dari ketakwaan. Ketakwaan ini adalah perkara yang memberikan penghayatan kepada amalan kita. Ketakwaan menjadikan seseorang itu sebagai hamba yang sempurna pada pandangan Tuhan. Ia menjadi sumber kekuatan jiwa kita. Di sini, terdapat persoalan yang harus kita renung dan cuba untuk dapatkan jawapan tanpa rasa letih serta jemu.
B. Kebenaran
Kebenaran itu adalah Jalan Tuhan. Kita haruslah mengikut perkara yang dinasihatkan kepada kita melalui wahyu-Nya, al-Quran. Contohnya, jika kita melaksanakan ibadah puasa dengan niat kerana-Nya. Pada masa yang sama kita melontarkan kata-kata yang jahat, zalim dan kotor. Adakah hal ini bertepatan dengan Jalan yang diredhai oleh Tuhan? Jalan yang diredhai oleh-Nya itu adalah kebenaran. Kita menerima yang halal dan menolak yang haram. Kebanyakan orang melaksanakan ibadah namun mengikut jalan mereka sendiri. Jalan hawa nafsu mereka sendiri.
Contoh kita mengikuti jalan hawa nafsu sendiri adalah seperti situasi apabila kita merayakan Hari Raya Aidilfitri dengan hiburan yang melampau dan menganggap Hari Raya itu sebagai penghujung kepada tempoh seksaan kita. Kita tidak merayakan Hari Raya dengan kesyukuran mahu pun dengan sebarang ilmu mengenai kepentingan amal ibadah kita. Jadi, bagaimanakah caranya kita merakan Hari Raya dengan keikhlasan? Keikhlasan itu dipenuhi dengan kesyukuran. Bulan Ramadhan itu adalah satu cara bagi kita mengatur langkah dalam kehidupan menjadi hamba-Nya yang sempurna. Dalam usaha untuk menuju ke arah itu, kita memerlukan ilmu kerana tugasan yang mulia serta berjaya itu berakar umbi dari ilmu. Kekuatan ummah itu bermula dengan keluarga. Bagaimanakah caranya kita mengasuh keluarga kita sendiri? Adakah melalui Jalan-Nya atau melalui jalan hawa nafsu kita?
Terdapat empat perkara yang kita perlukan bagi mencapai keredhaan-Nya:
- Kalimah Tertinggi bahawasanya tuhan yang disembah pun kecuali-Nya
- Keikhlasan dan kebenaran
- Syurga
- Kebebasan dari neraka
Syurga dan kebebasan dari neraka itu adalah hak-Nya dan tiada sesiapa pun berhak menentukan hal ini kecuali Dia sahaja.
Kita tidak melontarkan Kalimah Tertinggi itu hanya sekadar dengan kata-kata sahaja. Ia haruslah diikuti dengan penghayatan. Demi kesedaran ini maka kita memerlukan ilmu. Bahawasanya kita bersaksi bahawa hanya Dia sahaja Tuhan yang berhak disembah dengan penuh yakin dan menghapuskan segala keraguan di hati. Dari hal ini maka timbul iman yang menjadi ciri kepada hamba yang menerima kepatuhan kepada Pencipta. Seterusnya, timbul pula taubat kerana taubat ini merupakan akar kepada keikhlasan serta kebenaran.
C. Ketakwaan
Ketakwaan itu dicapai menerusi amal kebajikan. Amal kebajikan itu menjadi roh kepada iman. Iman pula adalah jasadnya. Amal kebajikan berperanan sebagai roh yang menggerakkan iman kerana jasad tanpa roh itu akan mereput lalu menghilang.
Mempersoal keadaan hati kita itu adalah satu kemestian. Kita haruslah berpuas hati dengan jawapan yang diberikan kepada persoalan tersebut kerana kita akan berpegang dengan pandangan alam melalui jawapan yang kita terima itu. Kita menundukkan diri kita kepada keamanan dan kebajikan itu dengan menerima Islam. Islam itu terbina di atas lima rukun bermula dengan:
- Kalimah Kesaksian terhadap-Nya sebagai Tuhan
- Kesaksian kepada kenabian nabi Muhammad s.a.w
- Menunaikan solat setiap hari
- Menunaikan puasa di bulan Ramadhan
- Menunaikan zakat
- Menunaikan haji di kota suci Mekah sekali seumur hidup