Dalam pada itu, terdapat juga laporan yang menunjukkan bahawa golongan migran yang membentuk minoriti dalam masyarakat yang lebih besar terutamanya komuniti Muslim yang "bermasalah" ini telah pun berusaha untuk beradaptasi dengan baik selain daripada membangunkan perumahan, memperkembang akar mereka, menyusun perusahaan dan terlibat dalam putaran ekonomi di tengah-tengah orang Eropah yang tidak mengalu-alukan kedatangan mereka.
EU mengambil maklum mengenai keperluan untuk melaksanakan dasar migrasi yang masuk akal, proaktif dan praktikal bagi mencapai keputusan yang diharapkan. Institusi EU juga menyedari bahawa usaha untuk mengintegrasikan komuniti migran serta minoriti yang ada di dalam rantau Eropah hanya akan berjaya jika ia diikuti dengan penyertaan mereka dalam bidang sosial, ekonomi dan politik. Ramai migran yang membentuk sebahagian daripada golongan minoriti rentan mengalami kemunduran dari segi sosial dan ekonomi di mana mereka membentuk ghetto di kawasan yang berasingan yang telah ditinggalkan oleh warga tempatan khususnya di kawasan perindustrian di negara anggota Eropah seperti di Brimingham dan Manchester di United Kingdom (UK). Keadaan persekitaran tempat tinggal mereka yang kurang selesa itu membantutkan peluang untuk mengintegrasikan mereka secara berkesan ke dalam masyarakat yang lebih besar di UK. Mereka terkecuali dari penyertaan politik, mengalami diskriminasi, terlibat dalam jenayah kecil atau keganasan disebabkan oleh kekurangan pendidikan, menghadapi racisme dan digambarkan secara buruk di dalam media serta lain-lain. Keadaan mereka yang terpinggir itu menjadikan mereka sebagai sasaran mudah untuk dikambing hitamkan oleh parti sayap kanan totok yang sejak bertahun-tahun menerima sokongan di seluruh Eropah melalui momokan bahawa warga Eropah dianak tirikan oleh kerajaan negara anggota Eropah serta membakar perasaan takut warga Eropah terhadap migran. Sikap orang awam terhadap migran juga tidak begitu baik kerana peruntukan kebajikan sosial yang ditarik balik dan keadaan ini boleh menimbulkan ancaman kepada kehidupan ramai orang di Eropah.
Kesan dari ketidakseimbangan kumpulan populasi memaparkan proses di mana berlakunya fragmentasi sosial. Dalam konteks sosial, ancaman psikologi dan ekonomi, tugas memberikan penghormatan kepada kepelbagaian dan mempelajari kaedah menguruskan perbezaan itu tetap menjadi cabaran yang besar kepada institusi di Eropah.
Sehubungan dengan itu, penyelidik akan memberikan tumpuan yang lebih kepada institusi Eropah khususnya hak golongan minoriti dalam konteks supranasional secara keseluruhan. Manakala, komuniti Muslim pula dijadikan sebagai satu kajian kes kerana ia menampilkan pelbagai cabaran yang sukar untuk diatasi oleh institusi Eropah dalam usahanya untuk menangani isu serta mengeluarkan solusi. Dalam kebanyakan masa, negara di Eropah Barat dan Eropah Utara mengamalkan model integrasi secara multikultural. Namun, terdapat juga kesangsian berkenaan dengan model integrasi ini kerana ia dilihat oleh sesetengah golongan sebagai satu manipulasi ke atas mereka yang enggan untuk berintegrasi ke dalam masyarakat Eropah dengan justifikasi demokrasi liberal. Hal ini menimbulkan kenyataan yang seringkali diucapkan oleh pemimpin Eropah terkenal dengan cara yang hampir sama di setiap persidangan iaitu, "kita harus memastikan mereka tidak masuk, jika mereka masuk maka mereka harus berintegrasi!". Menarik juga untuk disedari bahawa, mereka yang tidak diingini dan secara umumnya dianggap sebagai migran itu merujuk kepada komuniti Muslim dan mereka dilihat sebagai tidak layak menerima faedah dari bantuan kebajikan negara serta menerima akses kepada hak di Eropah (Michael, 2009).
Isu ini juga dibincangkan dengan meluas dan umumnya dalam polemik masyarakat Eropah sejak 10 tahun yang lalu sebagai isu multikultural dengan penekanan kepada kegagalannya. Sedangkan kerajaan di negara Eropah contohnya seperti di UK pula menyedari bahawa terdapat keperluan untuk memastikan proses integrasi ini berlaku supaya komuniti kecil yang terpecah di negara itu bergabung ke dalam masyarakat yang lebih besar dan luas.