Setiap umat Islam yang mencapai akil baligh dan sihat tubuh badan difardhukan atau diwajibkan menjalani ibadah berpuasa bermula dari waktu Subuh hinggalah waktu Maghrib sepanjang 30 hari. Walau bagaimanapun, ibadah ini dikecualikan kepada orang mengalami sakit berat, pengembara, orang tua yang uzur, wanita mengandung, wanita yang datang bulan atau wanita yang menyusukan anak dengan susu badan.
Ibadah puasa ini bukanlah bermaksud kita tidak makan langsung seharian. Sebaliknya, kita digalakkan bersahur atau bersarapan sebelum azan Subuh dan kemudian beriftar atau berbuka puasa selepas azan Maghrib. Selain itu, fatwa dikeluarkan untuk umat Islam yang tinggal di rantau yang mengalami fenomena matahari tengah malam atau malam polar supaya mengikut jadual waktu di kota suci Mekah. Begitu juga amalan mengikut jadual waktu negara terdekat dengan perbezaan malam dan siangnya yang jelas pun merupakan satu kebiasaan bagi umat Islam di seluruh dunia. Pahala berpuasa dipercayai berganda semasa bulan Ramadhan. Walaupun pada zahirnya umat Islam menahan diri daripada makanan dan minuman di siang hari, namun mereka juga dituntut supaya meninggalkan tabiat yang dilihat sebagai berdosa menurut kaca mata Islam serta menjalankan amal ibadat dengan sebaiknya dan mendalami kitab suci al-Quran bagi meningkatkan lagi kualiti ibadat seharian.
Dari segi etimologi atau asal usul perkataan pula ramadhan ini muncul dari perkataan ramadha bermaksud "panas terik" yang dalam bahasa Arab klasiknya adalah perkataan yang tergolong di bawah kata kerja ramidha bermaksud "menjadi amat panas sehingga terbakar, menyala atau bersinar".
Ramadhan juga dianggap sebagai salah satu daripada Nama Allah oleh sesetengah orang. Banyak sekali hadis yang melarang umat Islam menyebut Ramadhan hanya sebagai Ramadhan apabila merujuk kepada bulan ini sebaliknya umat Islam digalakkan menyebut Ramadhan sebagai bulan Ramadhan. Walau bagaimanapun, sesetengah cendekiawan Islam lain pula menganggap bahawa hadis yang membicarakan mengenai hal ini sebagai mawdu' atau bidaah buatan orang sahaja serta tidak mempunyai sanad pertalian yang sah.
Dalam bahasa Parsi, huruf bahasa Arab "dhad" disebut sebagai huruf "zay". Umat Islam dari rantau Afghanistan, Azerbaijan, Iran, India, Pakistan dan Turki akan menyebut bulan ini sebagai bulan Ramazan atau Ramzan.