Perbezaan Sumber Rujukan mengenai Hak Asasi Manusia

Dalam memahami hak asasi manusia, isu pertama yang paling asas diajarkan oleh Islam adalah mengenai hakikat diri manusia itu sendiri. Apabila seseorang mengetahui status dirinya, maka dia akan berbicara dalam ruang lingkup dirinya sebagai seorang manusia. Allah S.W.T menjelaskan dalam Surah al-Insan dari ayat 1 sehingga ayat 2 mengenai asal usul kejadian manusia serta tujuan penciptaan manusia itu sendiri.

Syeikh al-Tantawi menyatakan bahawa ayat ini menjelaskan mengenai manusia itu diciptakan oleh Allah S.W.T daripada tiada kepada ada. Demikian juga Dia Maha Berkuasa mengembalikan mereka kepada kehidupan selepas kematian untuk dihisabkan segala amalan perbuatannya. Matlamat penciptaan manusia ini adalah untuk menguji mereka dengan segala apa yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka. Lalu, Allah S.W.T akan menilai, sesiapa sahaja dalam kalangan mereka yang tunduk kepada perintah-Nya dan sesiapa sahaja yang ingkar maka mereka itu menjadi kufur (al-Tafsir al-Wasit, 15/214-215)

Dalam ayat 21 pada Surah al-Baqarah pula, Allah S.W.T menyeru sekelian manusia supaya mengabdikan diri kepada-Nya, Tuhan yang menciptakan mereka dan orang yang sebelum mereka. Dalam sumber lain pula, Allah S.W.T melalui Surah al-Ra'd ayat 15 menjelaskan bahawa kepatuhan seseorang hamba itu tidak semestinya berlaku secara sukarela, tetapi boleh jadi juga secara paksa atau tanpa disedari.

Dalil-dalil yang dipaparkan itu menunjukkan bahawa hak asasi manusia menurut pandangan Islam tertakluk kepada kedudukan manusia itu sendiri sebagai makhluk dan hamba kepada Allah S.W.T. Hal ini bertepatan dengan seruan supaya fitrah kejadian manusia yang diciptakan oleh Allah S.W.T dikekalkan seperti yang disebut dalam Surah al-Rum ayat 30. Dari segi ini, hak asasi manusia menurut perspektif Islam tidak lain dan tidak bukan bermaksud al-hurriyah al-fitriyyah atau kebebasan manusia itu menurut kepada fitrah kejadiannya. Selain itu, al-Buti turut berkata bahawa, kebebasan menurut fitrah itu tidak akan bercanggah dengan sifat kehambaan manusia dengan Tuhannya, bahkan dengan menghambakan diri kepada-Nya, maka semakin tinggilah fitrah kemanusiaan seseorang itu diangkat (Hurriyah al-Insan fi Zil 'Ubudiyyatihi Lillah, 119).

Keadaan ini berbeza dengan hak asasi menurut perspektif Barat yang bergantung dengan akal manusia semata-mata sebagai sumber rujukan. Lebih-lebih lagi, istilah hak asasi manusia secara eksplisitnya baru disedari di Barat pada abad ke-18 masihi (Instrumen Internasional Pokok Hak Asasi Manusia, 11). Istilah hak asasi manusia ini pertama kali digunakan dalam bahasa Perancis iaitu "droits de l'homme" yang bermaksud "hak asasi manusia." Istilah ini merujuk kepada hak asasi manusia dan kewarganegaraan yang diterbitkan oleh Perancis semasa Revolusi Perancis pada tahun 1789. Penyataan tentang hak asasi manusia ini kemudian diterjemahkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke dalam bahasa Inggeris menjadi "fundamental human rights" yang kemudian disingkatkan menjadi "human rights" sahaja (Hak Asasi Manusia dalam Perspektif Islam menyingkap Persamaan dan Perbezaan antara Islam dan Barat, xvii).

Oleh itu, tidak dapat disangkal lagi bahawa perjuangan hak asasi manusia pada hari ini banyak dipengaruhi oleh pergerakan hak asasi manusia di Barat. Hal ini kerana, wujud beberapa kejadian yang menimpa Barat hingga mendorong mereka berjuang dengan nama hak asasi manusia. Selain itu, Peristiwa Magna Carta pada tahun 1215, Konsep Hukum Alam atau Natural Law yang disarankan oleh Thomas Hobbes serta John Locke, Revolusi Perancis 1789 - 1799, Perisytiharan Kemerdekaan dan Perlembagaan Amerika Syarikat, Perindustrian dan Bantahan terhadap Eksploitasi Buruh yang digerakkan oleh Golongan Sosialis dan Komunis, diikuti oleh kemusnahan dunia akibat Perang Dunia Pertama dan Kedua, penubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1945 membawa kepada penggubalan Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat atau Universal Declaration on Human Rights (UDHR) pada tahun 1948.

Oleh yang demikian, gagasan hak asasi manusia yang dianjurkan di Barat sudah tentulah berlaratbelakangkan pola pemikiran dan budaya kehidupan mereka. Apabila diteliti, ideologi hak asasi manusia di Barat bersifat anthropocentric iaitu menjadikan manusia sebagai kayu ukur kepada segala sesuatu. Hak asasi manusia dalam perspektif ini meletakkan manusia dalam suatu ketetapan bahawa hubungannya dengan Tuhan sama sekali tidak wujud. Hak asasi manusia dinilai sebagai kurniaan semulajadi atau alamiah sejak lahir lagi. Tuntasnya, hak asasi manusia di Barat bersifat sekular sehingga orientasi dan tanggungjawab berkaitan dengannya itu bertumpu kepada manusia semata-mata (Hak Asasi Manusia: Hakikat, Konsep dan Implikasinya dalam Perspektif Hukum dan Masyarakat, ms. 217).

Dengan kata lain, hak asasi manusia menurut worldview Barat adalah berpaksikan kepada fahaman humanisme iaitu satu sistem pemikiran atau -isme yang memberikan penekanan kepada nilai kemanusiaan dan kebajikannya. Fahaman ini juga menafikan kebergantungan manusia kepada unsur agama dan agama dilihat sebagai sesuatu yang mengekang kehidupan manusia (Encyclopedia of Ethics, 2/800).

Humanisme dengan makna dan penekanan atheisme sebagaimana yang difahami hari ini merupakan cetusan idea tokoh komunisme iaitu Karl Marx. Perkara ini diakui oleh dua orang tokoh yang sering membincangkan dan mengkaji latar belakang fahaman ini iaitu Bruno Baucer (1882) dan Ludwig Feuerbach (m. 1872). Karl Marx menyebut bahawa humanisme diperkenal bertujuan bagi menafikan kewujudan dan kekuasaan Tuhan. Ia seterusnya memisahkan manusia daripada agama. Malah, Marx juga berpandangan bahawa manusia adalah pencipta agama dan bukan agama yang menciptakan manusia (Encyclopedia of Ethics, 2/801-802).

Berdasarkan kepada perbahasan di atas, bolehlah difahami bahawa terdapat perbezaan yang mendalam antara hak asasi manusia dalam pandangan Islam dan pandangan Barat. Hal ini berlaku kerana perbezaan sumber rujukan. Hak asasi manusia menurut Islam adalah kebebasan manusia menurut fitrahnya yang berpandukan kepada kitab suci manakala hak asasi manusia menurut kaca mata Barat pula melibatkan perjuangan mereka menuntut kebebasan mutlak bagi setiap manusia tanpa panduan wahyu atau nilai keagamaan.

Maklumat lanjut boleh juga diakses di "Universal Declaration of Human Rights" yang diterima pakai oleh Islamic Council of Europe pada 19 September 1981 di laman sesawang University of Minnesota, Amerika Syarikat.