Aku sedang membaca mengenai program yang ditawarkan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Sebenarnya aku sudah cuba untuk memohon di sini selepas aku tamat pengajian kerana aku tidak mengetahui hala-tuju aku selepas menyelesaikan program pengajian yang tangkap muat semasa aku di peringkat ijazah sarjana muda dahulu. Namun, aku mendapati bahawa kemasukan ke program pengajian di kebanyakan institusi adalah sangat melecehkan maka aku terus sahaja hanyut dipukul ombak kehidupan seperti orang lain.
Dari maklumat yang diberikan oleh Dr. Mohd Rosmizi Abd. Rahman, Ketua Program Akidah dan Pengajian Agama, USIM program yang mereka tawarkan itu menggabungkan pengajian tradisi dan pengajian moden. Terdapat empat cabang utama dalam pengajian itu iaitu:
- Akidah
- Tasawwuf
- Falsafah
- Perbandingan Agama
Menurutnya, universiti lain hanya menumpukan kepada Usuluddin sahaja. Aku tak faham apa bezanya Usuluddin dengan pecahan subjek yang disebutkan olehnya itu. Dalam program itu, pelajar akan mendalami ilmu falsafah Islam dan Barat termasuklah ideologi seperti pluralisme dan sekularisme. Hal ini menyediakan latihan kepada mahasiswa dalam menghadapi cabaran akidah pada masa kini seperti kecelaruan ideologi, ajaran bertentangan dengan fitrah manusia serta membincangkan isu seperti murtad, liberalisme dan ajaran sesat.
Perbandingan agama pula membantu mahasiswa memahami ajaran agama terkemuka di dunia, pemikiran ulama Islam dan Barat, ilmu tasawuf, tarekat dan lain-lain. Tujuannya bagi membuka mata dan minda mahasiswa terhadap bidang pengajian yang berkaitan dengan agama.
Dalam masa yang sama, mahasiswa ditekankan kepada latihan komunikasi dan bertoleransi dengan penganut agama lain. Antara subjek yang memupuk sikap tolak-ansur dengan penganut agama lain adalah seperti:
- Agama Dunia
- Etika dan Peraturan Agama
- Dialog antara Agama.
Mahasiswa diberi tugasan melalui subjek di atas yang memerlukan mereka melawati tempat ibadat dan kajian kes ke atas penganut agama itu. Kursus ini mengambil masa selama empat tahun dengan tenaga pengajarnya berkelulusan tempatan dan luar negara seperti dari Universiti al-Azhar, Universiti Kaherah, Universiti Edinburgh, Universiti Monash, Universiti Islam Antarabangsa dan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Rujukan