Di sini, aku ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha dan berharap semoga semua orang diberkati dan dilindungi oleh Tuhan.
Semasa aku menulis masukan ini, aku sedang berada dalam saat peperiksaan kerana aku masih ada dua lagi kertas iaitu kertas Ekonomi Politik Global dan Hubungan Antarabangsa. Aku rasa agak tertekan juga sebab aku tak dapat berhari raya seperti orang lain namun aku bersyukur kerana aku sempat juga bersembahyang hari raya secara berjemaah di masjid universiti.
Semalam aku berpuasa juga dengan permohonan semoga aku menerima belas kasihan dari Tuhan. Aku sudah tidak berpuasa lama sudah selepas dinasihatkan oleh seseorang supaya tidak berpuasa sangat akibat aku terlalu kurus. Secara umumnya, aku sebenarnya tidak begitu mengambil 'port' sangat pun mengenai rupa paras aku. Namun, apabila aku mendapati bahawa setiap perkara itu mempunyai haknya maka aku pun cuba untuk menyeimbangkannya dan tidak berlebih-lebihan.
Hari Raya Haji ini akan sentiasa diingati oleh aku. Hal ini kerana aku menjalani ibadah haji enam tahun yang lalu. Aku merindui juga saat aku berada di tanah suci Mekah sejak aku pulang ke tanah air. Pada hari ini, mereka yang berhaji di sana akan ke Mina untuk upacara melontar di jamrah. Pengalaman semasa di Mekah itu adalah antara pengalaman berharga buat aku. Aku tidak mengambil sebarang foto kenangan pun di sana namun ia merupakan perjalanan rohaniah yang menarik. Aku berharap agar ia menjadi pemangkin semangat aku untuk meneruskan hidup yang penuh dengan pancaroba ini. Selepas kepulangan ke tanah air barulah aku terhegeh-hegeh untuk cuba mempelajari dan menguasai bahasa Arab sedangkan sebelum itu aku tidak berminat pun. Selain itu juga aku cuba untuk menghafal kitab suci al-Quran jika diizinkan oleh Tuhan.