Akidah Islam

Akidah adalah perkataan dalam bahasa Arab yang diterjemahkan sebagai "kepercayaan" dalam bahasa Melayu. Dari segi bahasa, akidah ini membawa maksud ikatan atau simpulan. Dari segi istilahnya pula bermaksud, keyakinan atau keimanan yang kukuh terhadap "rukun iman" dan alam ghaib.

Seseorang Muslim itu wajib menerima sepenuhnya segala hal yang terkandung dalam kitab suci al-Quran dan hadis yang disampaikan oleh nabi Muhammad s.a.w. Selain itu, seseorang Muslim dinasihati supaya berhati-hati dari segi pertuturan, amal perbuatan dan pemikiran supaya tidak tergelincir ke arah akidah yang salah.

Dalil yang dikongsikan dalam Surah al-Ikhlas (112: 1-4) dari kitab suci al-Quran menyebut bahawa:

  • Tuhan itu Maha Esa;
  • Tuhan menjadi tempat manusia bermohon serta berharap atas segala hajat;
  • Tuhan tidak memperanakkan sesiapa mahu pun diperanakkan oleh sesiapa; dan
  • Tuhan tidak mempunyai kufu atau pasangan yang setara dengan-Nya.  

Dalil dari hadis dari rekod Muslim dari riwayat Abu Malik r.a. melaporkan bahawa nabi Muhammad s.a.w menyatakan bahawa barangsiapa yang mengucapkan kalimah tauhid, "tiada Tuhan selain Allah S.W.T" dan mengingkari peribadatan kepada yang selain daripada-Nya, maka harta dan tubuhnya dihormati dan Tuhan sahaja yang berhak mengadilinya.

Maka dalil dari al-Quran dan hadis itu menunjukkan bahawa akidah yang menjadi pegangan seseorang Muslim itu adalah sesuatu yang sangat penting dalam agama Islam.

Rukun Iman

Selanjutnya, "rukun iman" merujuk kepada tiang kepercayaan yang dianuti oleh umat Islam. Setakat yang diambil maklum, rukun iman terbahagi kepada enam semuanya iaitu:

  • Percaya dengan Allah S.W.T;
  • Percaya dengan para malaikat;
  • Percaya dengan para rasul;
  • Percaya dengan hari kiamat; dan
  • Percaya dengan qadha' dan qadar.    

Rukun iman seperti yang di atas berkemungkinan diringkaskan oleh guru-guru agama Islam dari kitab suci al-Quran dan rujukan hadis nabawi. Kesemua perkara yang disebutkan di atas itu melibatkan alam ghaib atau perkara yang tidak dapat dikesan oleh pancaindera makhluk seperti manusia biasa. 

Rujukan asas mengenai "Akidah Islam" boleh juga dibuat dalam buku teks Pendidikan Islam yang digunakan di sekolah rendah dan sekolah menengah di Malaysia.