Akidah dari segi bahasa atau etimologinya berasal dari perkataan bahasa Arab yang bermaksud 'ikatan' atau 'pautan' atau 'simpulan' bagi sesuatu perkara.
Dari segi istilahnya atau terminologi, akidah bermaksud 'kepercayaan, 'keyakinan' atau 'keimanan' yang hanif dan murni. Ia tidak mudah diuraikan oleh sebarang pengaruh sama ada dari dalam atau dari luar diri seseorang.
Pengertian akidah menurut kitab suci al-Quran adalah keimanan seseorang kepada Allah Subhanahu wa Taala (SWT) yakni mengakui kewujudan-Nya. Dari segi fungsi Allah SWT sebagai Rabb, Malik dan Ma'bud atau Ilah itu dapat dilihat dalam Surah al-Fatihah ayat 2, 4 dan 5 serta dalam Surah al-Nas ayat 1 sehingga ayat 3.
Pemahaman umat Islam mengenai akidah ini dibingkaikan oleh doktrin Tauhid atau Monotheisme oleh sarjana-sarjana yang bergiat dalam akademik agama Islam. Rangka pemahaman ini boleh dianggap sebagai bida'ah atau rekaan sahaja oleh umat Islam kerana ia tidak terdapat dalam sastera al-Quran atau riwayat melalui hadis-hadis nabi Muhammad s.a.w. yang dikumpulkan selepas kewafatan baginda. Penyusunan akidah ini dibuat hanya untuk membantu umat Islam memahami kepercayaan mereka terhadap Allah SWT.
Bagi umat Islam yang mengikuti atau berminat dengan pergerakan Wahabi, mereka membahagikan Tauhid itu kepada tiga bahagian iaitu Uluhiyah, Rububiyah dan Asma wa Sifat. Fahaman Asma wa Sifat berpandangan bahawa nama Allah itu semuanya adalah sifat Allah sendiri. Oleh itu, pengikut pandangan ini tidak membataskan sifat Allah kepada sejumlah sifat sahaja. Sebanyak mana nama Allah maka sebanyak itulah sifat Allah pada pandangan mereka.
Bagi umat Islam yang tradisional, mereka berpegang kepada fahaman yang disusun oleh al-Maturidi dan Abu Hassan Ash-a'ri. Fahaman al-Maturidi membahagikan sifat Allah kepada 20 sifat semuanya.
Rujukan