Meratapi Kecelakaan

Aku tak sempat mencatit perkara yang sebelumnya kerana aku terlewat beberapa minit ke surau. Isi kandungan ceramah ini nampaknya berkaitan dengan kesempurnaan solat. Antara perkara yang disampaikan oleh penceramah ini adalah:

  • Manusia suka sekali menangisi kecelakaan apabila ditimpa musibah. Pada hari ini, kita melihat orang ramai mengemaskini status Facebook, Twitter dan Instagram mereka untuk berkongsi perasaan mereka dengan orang lain. Dalam kalangan mereka itu, ada yang menangisi kecelakaan yang menimpa mereka.
  • Manusia itu akan menjadi bakhil apabila dia menerima nasib yang baik.
  • Manusia itu akan berdiam diri sahaja enggan berkongsi kebaikan yang diterima oleh dirinya namun akan berarak berkeliling kota berkongsi musibah yang menimpanya.
Penceramah mengaitkan perkara di atas dengan Surah al-Ma'arij (70:19) dan menyebut bahawa seseorang yang berusaha menyempurnakan solatnya itu tidak akan memaparkan sikap yang seperti di atas. Orang yang melaksanakan solat dengan sebaik mungkin akan selalu memaparkan sikap dan pandangan dunia yang benar.
 
Seterusnya, beliau mengaitkan lagi perkataan ma'arij dengan kenaikan solat ke arasy dan kaitannya dengan tiga ciri hamba Tuhan seperti yang disebutkan oleh Ja'afar al-Sadiq. Beliau menyatakan bahawa seseorang yang solatnya itu tiba di arasy akan memaparkan ciri seperti berikut:
  • seseorang yang berpegang dengan pandangan bahawa segala yang menjadi 'miliknya' itu bukanlah hak mutlaknya namun adalah hak yang dipinjamkan dari Tuhan. Dia tidak akan menangisi kecelakaan yang menimpanya. Sebagai contoh, jika dia tiada zuriat atau anak lelaki maka dia menerima hakikat tersebut dengan redha dan berfikiran terbuka.
  • seseorang yang melaksanakan perintah Tuhan dan menghormati perkara yang diharamkan ke atasnya.
  • seseorang yang melaksanakan perintah Tuhan dengan adab dan ilmu.
Penceramah menjelaskan bahawa sikap menangisi kecelakaan ini sebenarnya adalah tindakan menafikan rahmat Tuhan dan timbul dari kebakhilan. Solat bukan sahaja hak Tuhan ke atas hamba-Nya, namun ia adalah hak saudara yang beriman ke atas saudaranya yang lain. Hal ini dicerminkan dalam tasyahud akhir yang kita baca "السلام علينا وعلى عبادك الصالحين" bermaksud "semoga kita berada dalam keamanan dan keamanan juga atas hamba-Mu yang soleh". Apabila kita enggan menunaikan solat, kita sekaligus menafikan hak yang tersebut dalam tasyahud akhir itu ke atas saudara dalam iman yang turut menerima pahala dari solat dan doa yang kita panjatkan ke hadrat-Nya.
 
Rujukan