Isnin, 23 Jun 2025

Perspektif Islam mengenai Hak Asasi Manusia

Memandangkan kerjaya aku sejak 10 tahun ini sedikit sebanyak berkaitan dengan konsep sosial dan politik, maka ada baiknya aku memerhatikan topik "hak asasi manusia" yang kini semakin digunakan sebagai serampang dua mata oleh negara di Barat untuk menekan negara yang tidak menyedari mengenainya dari segi politik dan ekonomi.

Rujukan dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Malaysia dalam halaman "Tashih al Mafahim Bil. 7" yang memberikan keterangan mengenai pernyataan, "Islam Tolak Hak Asasi Manusia" pada 21 Disember 2018, menyebut bahawa, sejarah membuktikan kedatangan nabi Muhammad s.a.w telah mengangkat hak asasi manusia di kota Mekah hingga berjaya mengeluarkan mereka daripada kegelapan jahiliah kepada cahaya keadilan Islam. Baginda nabi s.a.w telah menghapuskan sikap perkauman (assabiyah), diskriminasi golongan kaya ke atas golongan fakir miskin, diskriminasi terhadap wanita, diskriminasi golongan bangsawan ke atas golongan bawah dan seumpamanya.

Hal ini semuanya menunjukkan betapa Islam adalah ajaran yang mengangkat martabat kemanusiaan. Walau bagaimanapun, hal yang menjadi isu dan menimbulkan konflik adalah nilai hak asasi manusia yang diperhatikan dalam ajaran Islam adalah berbeza dengan nilai hak asasi manusia yang dipelopori oleh Barat. Hal ini menyebabkan umat Islam dilihat seolah-olah menolak perjuangan hak asasi manusia. Padahal, ia sebenarnya berpunca daripada perbezaan sudut pandangan terhadap alam atau weltanschaaung antara ajaran Islam di Timur dan pelbagai jenis fahaman di Barat. Justeru, marilah kita melihat beberapa sudut pandangan yang berbeza antara hak asasi manusia yang difahami menerusi kaca mata ajaran Islam dan hak asasi manusia yang dipelopori oleh Barat supaya kita dapat memahami isu ini dengan lebih mendalam.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyebut bahawa tidak diragukan lagi bahawa ajaran Islam memelihara nilai kemanusiaan berasaskan kepada fitrah insaniah dengan berpandukan kepada syariat. Hal ini jauh lebih mulia dan tinggi berbanding dengan sekadar memperjuang hak asasi manusia individu menurut pandangan Barat. Di samping itu, ajaran Islam tidaklah menolak secara total perjuangan hak asasi manusia yang dipelopori di Barat. Namun, ia perlu disaring dengan teliti agar nilai tersebut tidak bercanggah dengan syariat.

Sesungguhnya, syariat yang diturunkan oleh Allah S.W.T. telah pun lengkap dan menjadi panduan dalam menjamin hak kemanusiaan seseorang manusia. Islam muncul bukan sekadar membawa akidah semata-mata, tetapi juga menawarkan satu transformasi menyeluruh terhadap sudut pandangan manusia kepada alam. Ketika Rib'i bin Amir dari Bani Tamim berhadapan dengan Rustim, seorang panglima perang Parsi dalam Peperangan al-Qiddisiah, beliau mengungkapkan satu kalimah yang padat dan tegas dalam memberikan pengertian kepada kemanusiaan yang sebenar menurut pandangan seorang Muslim. Beliau menyebut bahawa:

"Allah S.W.T telah mengutuskan kami supaya mengeluarkan manusia yang dikehendaki oleh-Nya dari penyembahan terhadap hamba, kepada penyembahan terhadap-Nya semata-mata. Dari kesempitan dunia menuju ke arah kelapangan di akhirat dan dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam." (Tarikh al-Tabari, 2/401).

Akhir sekali, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan bahawa, ajaran Islam bukanlah anti kepada perjuangan hak asasi manusia. Sebaliknya, ajaran Islam menjadi harapan kepada sekelian hak kemanusiaan yang hakiki. Maka, Allah S.W.T lebih mengetahui daripada segala sesuatu.