Orang mendalami perkara yang dituntut oleh akidah Islam untuk diimani akan mendapati bahawa iman kepada kewujudan Allah SWT itu adalah berasal dari dalil yang aqli. Alasan mengenai perkara tersebut adalah sesuatu yang ada itu pastilah mempunyai penciptanya. Maka Allah itu adalah al-Khaliq, Maha Pencipta bagi segala yang wujud serta yang terjangkau oleh pancaindera.
Dalam ajaran Islam, Allah SWT adalah merupakan satu-satunya Penguasa alam semesta yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui. Allah mencipta segala perkara yang wujud di alam semesta ini. Ajaran Islam menekankan ketauhidan atau keesaan Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Allah tidak berjisim dan bukan juga roh. Al-Quran dalam Surah al-An'am (6:103) menjelaskan bahawa di sebalik al-'Arash atau Takhta-Nya, "Tiada sebarang pandangan pun yang mampu melihat-Nya, namun Dia Maha Melihat segalanya. Dia melampaui pemahaman namun Maha Mengetahui."
Sebanyak 99 Nama dikaitkan dengan Allah yang dikenali sebagai Asma' al-Husna yang bermaksud Nama-Nama Yang Terbaik dan menjadi seruan dalam pemikiran manusia mengenai sifat-sifat-Nya. Kesemua Nama itu merujuk kepada-Nya, Yang Maha Tinggi. Umat Islam yang membaca kitab suci al-Quran atau membaca doa-doa perlindungan pastilah terbiasa dengan sifat Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Penciptaan dan susunan alam semesta ini dilihat sebagai tindakan belas kasih Allah maka segala makhluk pun menujukan pujian kepada Allah dengan sifat ini serta memberikan kesaksian mengenai keesaan-Nya.